Sejak semalam, nama pelakon dan pengacara terkenal Indonesia iaitu Laudya Cynthia Bella sekali lagi menjadi bualan hangat netizen apabila dia didakwa telah mendirikan rumah tangga bersama kerabat raja di Dubai. Kontroversi itu dipercayai bermula daripada satu video viral di TikTok memaparkan sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Laudya Cynthia Bella Bakal Kahwin Dengan Kerabat Dubai? Rakan Baik Bella Tampil Beri Respon
Viral video Laudya Cynthia Bella nikah?
Menerusi video dikongsikan di TikTok, memaparkan sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung dalam suasana yang mewah dan turut dihadiri oleh ramai tetamu malah rata-rata tetamu lelaki dilihat memakai serban. Dalam keterangan video viral itu, majlis tersebut dipercayai merupakan majlis perkahwinan Laudya Cynthia Bella bersama seorang kerabat raja dari Dubai. Bukan itu sahaja, mereka didakwa bernikah selepas menjalani sesi taaruf.
Meskipun wajah pengantin perempuan tidak dapat dilihat dengan jelas, namun rata-rata netizen mendakwa itu adalah Laudya Cynthia Bella. Susulan daripada itu, Rita iaitu pembantu peribadi Laudya Cynthia Bella tampil membuka mulut dan membantah perkhabaran itu. Menurut Rita, berita dan video yang viral itu sama sekali tidak benar.
Mohon maaf itu berita yang sangat tidak benar, semoga kita semua terhindar dari fitnah ya. Barakallahufik.
Terdahulu, Laudya Cynthia Bella didakwa sedang hangat bercinta dengan seorang kerabat raja Dubai. Malah, khabar angin tersebut semakin menjadi-jadi selepas pelakon berusia 32 tahun ini dikatakan kerap berkunjung ke Dubai dan netizen beranggapan pelakon cantik itu ke negara tersebut kerana ‘teman lelakinya’ berada di sana. Namun dakwaan itu ditepis oleh rakan baik Laudya iaitu Zaskia Sungkar.
Untuk rekod, Laudya sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan Malaysia iaitu Engku Emran pada September 2017 di Kuala Lumpur. Hubungan mereka bagaimanapun tidak bertahan lama dan bercerai pada Julai 2020.