berita

Boleh Sebabkan Kematian, Ini Yang Wanita Perlu Tahu Tentang ‘Tumpah Darah’ Selepas Bersalin

February 27th, 2019 | by Ai
Kesihatan & Hidup Aktif

tumpah darah

Proses kelahiran bayi bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan soal nyawa si ibu mahupun bayi itu sendiri. Pastinya kita tidak tahu akan risiko yang akan berlaku semasa melahirkan anak.

Risiko yang paling bahaya adalah tumpah darah nifas berlebihan yang boleh mengancam nyawa si ibu. Dr. Muhammad Izzat ada berkongsikan info mengenai tumpah darah yang perlu dipandang serius.

Tumpah darah sampai pengsan

tumpah darah

Melalui pengalaman oleh Dr Muhammad Izzat, terdapat beberapa kes tumpah darah yang agak kritikal sehingga si ibu tidak sedarkan diri.

Kes 1

Ibu 42 tahun, bersalin secara normal anak yang ke 8, hamil cukup bulan. Ibu tidak mempunyai masalah semasa mengandung dan semasa proses kelahiran bayi, walau bagaimanapun uri mengambil masa agak lama untuk dikeluarkan. Ibu dibenarkan pulang ke rumah selepas 2 hari bersalin. Ibu mengalami darah nifas seperti biasa sehingga hari ke 6 selepas bersalin, ibu secara tiba-tiba mengalami tumpahan darah nifas yang berlebihan sehingga ibu pengsan dan tidak sedarkan diri. Ibu tersebut terus dikejarkan ke hospital.

Kes 2

Seorang gadis 18 tahun, hamil anak luar nikah dan merahsiakan kehamilannya. Ibu muda ini tidak mempunyai pemeriksaan antenatal yang rapi kerana bimbang kehamilanya diketahui umum. Ibu muda ini secara tiba-tiba mengalami sakit bersalin di rumah sewanya dan telah melahirkan bayi secara sendirian. Beliau kemudian memotong tali pusat bayi menggunakan gunting dan merentap sendiri uri di mana sebahagian besar uri masih tertinggal di dalam rahim. Disebabkan kebimbangan yang amat, beliau telah memberitahu teman lelakinya yang kemudiannya datang untuk membantunya. Pasangan muda ini masih takut untuk ke hospital sehingga 3 hari kemudiannya ibu muda ini mengalami tumpah darah nifas yang serius sehingga tidak sedarkan diri.

Cara nak tahu tumpah darah atau tidak

tumpah darah

Adalah menjadi kebiasaan untuk mengalami pendarahan selepas bersalin. Darah itu mungkin keluar daripada rahim ataupun koyakan perineum yang terjadi semasa proses kelahiran itu sendiri.

Pendarahan selalunya akan menjadi banyak sejurus sahaja selepas bersalin dan akan berkurang secara berperingkat dalam beberapa jam. Pendarahan akan berterusan dan akan berkurangan dalam beberapa hari lagi dan disertai dengan perubahan warna darah tersebut daripada merah terang ke warna coklat. Pendarahan ini dinamakan Lochia dan seharusnya berhenti apabila bayi anda berusia 6 minggu.

Pendarahan berterusan, berlebihan dari biasa adalah TIDAK normal dan dinamakan sebagai tumpah darah selepas bersalin (postpartum haemorrhage).

Apa itu tumpah darah selepas bersalin?

tumpah darah

Pendarahan yang berlebihan dan luar daripada biasa selepas bersalin. Terdapat 2 jenis tumpah darah selepas bersalin yang dinyatakan seperti berikut :

1. Tumpah darah primer (Primary Postpartum Haemorrhage) – Kehilangan darah selepas bersalin lebih dari 500 ml dalam lingkungan 24 jam selepas bersalin, kadar kebiasaan berlaku pada 5 daripada 100 wanita yang bersalin. Pendarahan yang teruk, melebihi 2 liter adalah jarang berlaku, dalam kekerapan 6 daripada 1000 wanita yang bersalin.

2. Tumpah darah sekunder (Secondary Postpartum Haemorrhage) – Kehilangan darah selepas bersalin dalam lingkungan 24 jam hingga 12 minggu selepas bersalin. Berlaku pada kekerapan kurang daripada 2 daripada 100 wanita yang bersalin.

Kenapa tumpah darah berbahaya?

tumpah darah

Jika anda kehilangan banyak darah selepas bersalin, akan mengakibatan keletihan yang luar biasa kepada anda, ditambah pula dengan keletihan yang sedia ada selepas bersalin.

Apabila pendarahan dibiarkan berterusan tanpa perhatian dan rawatan pihak doktor, akan menyebabkan anda hilang lebih banyak darah sehingga boleh meragut nyawa. Maka ianya perlu dikesan, dan dirawat dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi.

Siapakah yang berisiko?

tumpah darah

Tumpah darah primer bagi mereka yang:

  • Pernah mengalami tumpah darah kahamilan terdahulu.
  • Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35kg/m2.
  • Pernah melahirkan 4 orang anak atau lebih.
  • Kehamilan kembar atau triplet.
  • Uri bawah (placenta praevia).
  • Uri lekang (placenta abruptio).
  • Tekanan darah tinggi.
  • Kekurangan sel darah merah (anemia).

Jika semasa bersalin mereka yang mengalami:

  • Kelahiran secara pembedahan caeserean.
  • Proses kelahiran yang dipaksa (induction of labour).
  • Cebisan uri tertinggal di dalam rahim
  • Kelahiran yang dibantu menggunakan Forceps atau Vacuum.
  • Bayi yang besar, berat melebihi 4 kg.
  • Melahirkan anak yang pertama apabila umur anda melebihi 40 tahun.

Langkah berjaga-jaga

tumpah darah

Kebiasaannya, tiada apa yang boleh dilakukan kepada senarai risiko-risiko seperti di atas. Walau bagaimanapun langkah berjaga-jaga akan di ambil untuk mengurangkan risiko anda mengalami tumpah darah selepas bersalin ini, sekaligus mengurangkan keperluan untuk transfusi/penggantian darah.

Misalnya, jika anda mempunyai masalah kurang sel darah marah (anemia) ketika hamil, pengambilan zat besi tambahan akan mengurangkan keperluan untuk transfusi darah, jika berlakunya masalah tumpah darah selepas bersalin.

Jika anda sudah menjalani pembedahan caeserean pada kehamilan terdahulu, adalah amat penting untuk memeriksa sama ada uri pada kehamilan sekarang tidak melekat pada parut pembedahan caeserean yang lalu. Jika masalah ini timbul, uri tidak akan tertanggal dengan mudahnya selepas bayi dilahirkan, dan menyebabkan tumpah darah yang sangatlah serius. Jika keadaan ini sudah dapat dipastikan, cadangan rawatan anda akan dirancang sebaik-baiknya melibatkan pelbagai pakar perubatan.

Sumber: Dr Muhammad Izzat

SKIP THIS AD ×