Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang tindakan seorang graduan yang membuat aksi kurang sopan semasa berlangsungnya istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-59. Graduan yang dikenali sebagai Wong Yan Ke itu dengan beraninya bertindak mengeluarkan plakad bertulisan ‘Undur VC’ dan ‘Tolak Rasis’ sambil menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sehingga mengundang kecaman netizen.
Sehubungan itu, satu petisyen telah dibuat di laman web change.org bagi menuntut agar pihak universiti tersebut menarik semula ijazah sarjana muda yang dimiliki graduan itu. Graduan tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan kehadiran dan ucapan naib canselor universiti itu pada satu acara yang berlangsung tempoh hari.
Tuntut permohonan maaf secara terbuka
Menerusi laman web tersebut, petisyen itu dipercayai dibuat oleh Penggerak Mahasiswa UM kepada bahagian Naib Canselor Universiti itu.
Selain meminta agar sijil milik Wong ditarik balik, petisyen itu juga turut menuntut agar individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka akibat daripada tindakannya itu.
Kegembiraan yang dicemari
Berdasarkan petisyen itu, Penggerak Mahasiswa UM berkata ia dibuat kerana majlis yang sepatutnya meraikan hari kegembiraan itu dicemari dengan tindakan Wong lebih-lebih lagi apabila ia turut disaksikan pentadbiran tinggi universiti dan ibu bapa.
Bukan itu sahaja, persatuan itu juga menegaskan tindakan Wong mengangkat plakad yang tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan ‘ini tanah Malaysia’ juga dianggap satu tindakan biadap dan memalukan nama baik universiti terbabit.
Tiada masalah untuk berbeza pendapat
Jelasnya, tidak menjadi masalah jika seseorang itu mempunyai pendapat yang berbeza. Namun tidak bermakna ia memberi kebebasan kepadanya untuk melakukan sesuatu dengan sesuka hati.
Katanya, sebagai mahasiswa dia sepatutnya bertindak seperti seseorang yang berpendidikan sambil menghormati salah satu prinsip dalam rukun negara.
Pertahankan Naib Canselor
Melalui petisyen itu, Penggerak Mahasiswa UM juga berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Wong yang telah memalukan serta memburukkan nama universiti. Justeru mereka turut berhadap satu tindakan tegas dapat dikenakan terhadap Wong akibat daripada tindakannya itu.
Setakat ini, petisyen tersebut telah ditandatangani lebih 80,000 orang.
Sumber: change.org