berita

Ubat Gemuk Sebenarnya Ada Steroid Sebab Itu Selera Makan Meningkat. Ini Kesannya Kepada Kesihatan

March 7th, 2019 | by Amat
Kesihatan & Hidup Aktif

Semua nak memiliki bentuk badan sempurna di mata orang ramai sehingga sanggup mengambil pelbagai ubat. Dari gemuk nak kurus dan begitu juga berbadan kurus keding mahukan tubuh mereka berisi. Tapi tahukah anda, ubat menambah berat badan yang dijual mengandungi steroid dan dapat memberi kesan buruk terhadap badan kita.

Seorang Pegawai Farmasi, Dziehan Mustapa kongsi kesan ubat gemuk yang dijual melalui media sosial ini dapat memberi kesan buruk terhadap tubuh. Malah, kedua jenis ubat ini tidak mendapat kelulusan KKM!

Pil gemuk itu steroid!

Saya ulang siar artikel ini sebab Pil Gemuk yang merupakan gabungan ubat ‘Harsen‘ & ‘Kalbe‘ ini masih disalahguna oleh penjual di media sosial.

Sejak 2 hari lepas, artikel saya tahun lepas telah ‘UP’ semula dan ramai netizen yang share dan memberi komen dan ada juga yang menceritakan pengalaman mereka mengambil ubat ini dan merasai kesan sampingannya.

Sebenarnya ubat ‘Harsen‘ & ‘Kalbe‘ ini apa dia? Ada juga penjual yang mempromosikan dengan nama “Yellow & Orange Tablet”

Setelah mendapat gambar tablet tersebut dan carian menggunakan Google Image maka ubat Harsen dan Kalbe ini merupakan nama dagangan bukan nama sebenar ubat. Nama sebenar ubat ini adalah:
Harsen : Dexamethasone (Tablet berwarna kuning), Kalbe : Cyproheptidine (Tablet berwarna oren).

Tak pernah tengok KKM luluskan produk ini

Ubat ini juga dilihat di pek semula oleh pelbagai juru jual ke dalam pelbagai bekas/botol baru dengan label dan jenama lain untuk tujuan jualan. Dalam satu botol ada dua jenis ubat. Kata mereka ada kelulusan KKM. Saya yang kerja KKM tidak pernah tengok KKM luluskan produk yang mengandungi 2 campuran ubat dalam 1 bekas atau botol!

Didapati kedua-dua ubat ini berasal daripada negara jiran (Indonesia) namun kedua-dua jenama ubat ini tidak berdaftar di Malaysia. Dalam erti kata lain ia tidak boleh dipasarkan dalam Malaysia.

Ada sesiapa yang telah mendapat kesan buruk daripada pengambilan ubat ini? Maka saya semak pula kepada “Senarai 162 Produk Dikesan Mengandungi Bahan Terlarang Yang Diterima Melalui Pelaporan Kesan Sampingan Ubat” yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) KKM pada 2 Feb 2017.

Ternyata melalui semakan kedua-dua ubat ini ada dalam senarai:
Harsen: Nombor 51 dalam senarai
Kalbe: Nombor 72 dalam senarai

Ini bermaksud telah ada individu yang menerima kesan sampingan dan laporan telah dibuat serta siasatan telah dijalankan oleh NPRA. Melalui siasatan yang dilakukan, maka telah dikesan isi kandungan kedua-dua ubat ini adalah Dexametasone sejenis hormon kortikosteroid dan Cyproheptidine sejenis ubat antihistamine.

Kesan sampingan

Ada dua soalan lain pula yang timbul di sini.
1. Memang gabungan hormon kortikosteroid dan antihistamine boleh meningkatkan berat badan ke?
2. Bukan ke steroid dan antihistamine adalah ubat untuk tujuan rawatan. Mengapa ia tersenarai dalam senarai 162 produk itu?

Jawapan Soalan 1.
Melalui semakan saya tiada kajian dilakukan untuk melihat adakah benar gabungan kedua-dua ubat ini boleh meningkatkan berat badan. Oleh itu, saya melihat perincian kedua-dua ubat ini lebih mendalam lagi untuk mencari sebarang kaitan yang berkemungkinan boleh meningkatkan berat badan dan adakah ia berbahaya?

Kedua-dua ubat ini tidak diindikasikan untuk tujuan meningkatkan berat badan.
? Dexametasone digunakan dalam rawatan anti-keradangan, asma, keradangan sendi.
? Cyproheptidine pula lebih digunakan untuk tujuan rawatan alahan (allergic condition).

Jika tiada indikasi untuk meningkatkan berat badan, mari kita lihat pula kesan sampingan Dexamethasone (Hormon Kotikosteroid).

Kesan sampingan Dexamethasone:

Pertumbuhan terencat, osteoporosis, Ulser perut, glaucoma and subcapsular cataracts, vertebral compression fractures. Cushing-like features, kegagalan fungsi pankreas, iritasi gaster, meningkatkan selera makan, meningkatkan risiko kerosakan kulit dan meningkatkan risiko jangkitan.

Kesan sampingan Cyproheptidine:

Kekeliruan, koordinasi yang terganggu, pening, mudah teruja, euphoria, halusinasi, sakit kepala, histeria, kesukaran untuk tidur, kerengsaan, kegelisahan, sedation, sawan, mengantuk, gegaran/tremor, vertigo, hipotensi, berdebar-debar, jantung berdegup laju, sakit perut, anoreksia, meningkatkan selera makan, sembelit, cirit-birit, mual, muntah, kesukaran untuk kencing, kerap kencing, penglihatan kabur, tinnitus, labyrinthitis akut, kesesakan hidung, pharyngitis, fotosensitiviti, ruam, urticaria, keletihan, menggigil.

Nampaknya antara kesan sampingan Dexamethasone adalah Cushing-like features dan meningkatkan selera makan. Kesan sampingan Cyproheptidine juga ada meningkatkan selera makan, namun cyproheptidine ini juga boleh menyebabkan anoreksia (keadaan di mana kurang keinginan untuk makan sehingga menjadi amat kurus).

Apakah itu Cushing-like features?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah itu Cushing-like features? Sindrom Cushing berlaku disebabkan tahap hormon kortisol yang tidak normal. Ia boleh berlaku atas pelbagai sebab. Sebab yang paling biasa adalah kesan penggunaan ubat kortikosteroid.

Tanda dan gejala termasuklah tekanan darah tinggi, obesiti di bahagian abdomen tetapi dengan lengan dan kaki yang kurus, tanda kemerahan pada regangan kulit, wajah muka menjadi bulat dan kemerahan, ketulan lemak di antara bahu, otot dan tulang lemah menjadi, jerawat, dan kulit mudah rosak dan susah untuk sembuh. Kadang kala ada perubahan mood, sakit kepala, dan perasaan keletihan yang amat sangat. Bagi kaum wanita akan menunjukkan tambahan tanda dan gejala seperti banyak tumbuh rambut dan kitaran haid menjadi tidak teratur.

Jawapan Soalan 2.
Sememangnya rawatan steroid dan antihistamine digunakan dalam rawatan moden. Namun ia digunakan untuk indikasi yang telah dikenal pasti dan diberikan oleh individu yang bertauliah seperti doktor dan ahli farmasi.

Produk Harsen dan Kalbe ini tidak berdaftar dengan KKM. Maka ia tidak boleh dipasarkan di Malaysia. Produk ini mungkin diseledup masuk, dijual di kedai-kedai jamu (Indonesia) dan dijual atas talian menerusi medium media sosial oleh individu yang tidak bertauliah serta dilakukan pembungkusan semula yang tidak mengikut peraturan serta panduan Amalan Pengilangan Bail (GMP). Sebab itu ia tersenarai dalam senarai 162 produk yang dikeluarkan oleh NPRA KKM.

Adakah berbaloi mengambil risiko sebegini?

Melihat kepada semakan, rujukan serta penjelasan yang telah saya buat. Soalannya kini adakah berbaloi untuk anda mengambil risiko mengambil produk Harsen dan Kalbe ini untuk meningkatkan berat badan dengan mendapatkan kesan sampingan ubat tersebut iaitu meningkatkan selera makan?

Mengapa ingin mengambil ubat hanya untuk mendapat kesan samping ubat tersebut? Inilah kesan menerima informasi secara mengkhinzir buta daripada penjual-penjual ubat di media sosial yang tidak bertauliah.

Yang mengambil produk ini mungkin merasakan ada kesan dalam meningkatkan berat badan apabila melihat wajah muka semakin bulat, kelihatan perut semakin buncit dan terdapat ketulan lemak di antara bahu. Namun mereka tidak sedar, semua gejala atau tanda ini adalah yang dinamakan Sindrom Cushing iaitu tanda atau kesan daripada pengambilan ubat jenis hormon kortikosteroid.

Ramai yang tertipu

Berhentilah mengambil ubat-ubatan yang di jual menerusi media sosial ini. Kembali kepada yang pakar. Tanyalah ahli farmasi dan doktor anda. Saya melihat gambar-gambar testimoni pengguna produk ini dalam Facebook. Semuanya kelihatan “moon face“. Ciri-ciri muka yang bulat seperti bulan. Salah satu tanda fizikal penggunaan steroid secara kronik dan berpanjangan.

Maka ia bukanlah gemuk, tetapi tanda kesan penggunaan steroid atau “Sindrom Cushing“. Ini bukan tanda positif, ini tanda-tanda kemudaratan. Ramai yang tertipu, ingatkan ia tanda produk ini berkesan memberi kesan gemuk atau peningkatan berat badan. Kesihan kepada pengguna yang teraniaya ini.

Semua ini berpunca daripada penjual yang tidak tahu bahawa mereka menjual steroid. Atau mungkin juga mereka tahu, Tetapi demi keuntungan maka diteruskan juga penjual ubat-ubatan ini walaupun membahayakan pengguna yang mengambilnya.

Selain daripada itu oarang awam juga boleh membuat panggilan ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800 88 6722. Melalui perkhidmatan pusat panggilan NPCC ini orang awam boleh bertanyakan sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan dan mendapatkan informasi yang sahih daripada pegawai farmasi bertauliah.

“ELAKKAN BERTANYA KEPADA PENJUAL PRODUK”

Sumber: Dziehan Mustapa