Anak sulung kepada mangsa nahas kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan iaitu Abdur Rahman tidak dapat menahan sebak ketika menerima al-Quran milik adiknya.
Artikel Berkaitan: ‘Alhamdulillah, Rezeki Dapat Melawat Adik Rahman Dekat Muar’ – Tiz Zaqyah
Artikel Berkaitan: ‘Moga Adik Abdur Rahman Boleh Rawat Jiwa & Berdoa Di Depan Kaabah’
Pesanan arwah ibu
Menerusi perkongsian oleh Hanif Jamaluddin di Facebook (FB), Ustaz Nawfal telah menyerahkan al-Quran tersebut kepada Abdur Rahman ketika melawat remaja itu baru-baru ini.
Difahamkan naskah al-Quran tersebut pernah dihadiahkan oleh ibunya kepada adik perempuannya iaitu Fatimatulzahrah ketika ulang tahun kelahiran gadis itu yang ke-16.
Paling menyayat hati adalah coretan nasihat yang ditinggalkan oleh arwah ibu remaja tersebut yang ditulis di muka hadapan al-Quran itu.
Tahniah kakak! 16 tahun sudah kakak bernafas dalam dunia ini. Ibu mengharap kamu diberikan kejayaan dalam kehidupan dan urusan dunia kamu.
Ilmu itu cahaya, tanpa cahaya pasti gelap dunia. Timbalah ilmu walau di mana berada, susah senang itu adat dunia. Berikhtiar dan berdoa itu senjata kita.
Jadi anak yang solehah, insya-Allah.
Remaja berusia 19 tahun itu dilihat menangis teresak-esak ketika membaca nota yang ditulis oleh arwah ibunya.
Kamu insan hebat Abdur Rahman. Kamu diuji sedemikian rupa kerana Allah tahu kamu mampu. InsyaAllah pasti ada hikmah terbaik yang Allah telah susun buat dirimu dan adikmu.
Seluruh manusia mendoakan kesejahteraan buat keluargamu yang telah pergi, tempat mereka di syurga Insya-Allah.
Sementara itu, adik kepada Rahman iaitu Abdullah, 15, yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat kini berada dalam keadaan baik.
Terdahulu, ibu bapa serta empat lagi adik kepada Abdur Rahman disahkan meninggal dunia dalam kemalangan ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar ibunya di Segamat.
Mangsa yang terlibat ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Difahamkan, ibunya merupakan guru Sekolah Agama Semedak manakala bapanya merupakan seorang imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang Sabtu.
@mekjaa82 Ya Allah sedih sangat lihat kerinduan yang ada pada diri adik rahman,bukan dia tak boleh nak terima permergian ahli keluarganya tapi kerinduan tu wujud bila tidak ada didepan mata lagi wajah2 kesayangan abdul rahman??? #kemalangansegamat #6ahlikeluargameninggal #rinduadikrahman #subhanallah #Allahuakhbar #semogajiwaadikrahmankembalipulih #alfatihah
Sumber: Facebook Hanif Jamaluddin, TikTok