Pelakon jelita, Anna Jobling terpanggil untuk mengulas mengenai trend ‘nicest and rudest celebrities’ yang melibatkan selebriti tanah air yang sedang tular di laman sosial ketika ini.
Artikel Berkaitan: Anna Jobling Jadi Pelakon Utama Di Indonesia -‘Saya Akan Jaga Nama Malaysia, Tidak Lupa Diri’
Artikel Berkaitan: Jadikan Insiden ‘Cota’ Kamal Adli Sebagai Peringatan, Anna Jobling Pilih Untuk Lebih Berhati-Hati
‘Manusia biasa’
Ketika ditemui Oh Bulan!, Anna berkata, selebriti juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan ada kalanya berdepan hari yang kurang baik.
Jelas Anna, meskipun seseorang peminat itu mempunyai masalah peribadi dengan mana-mana selebriti, seeloknya disimpan sendiri.
Trend itu seperti membuka aib artis. Pada pandangan saya, setiap orang akan ada hari mereka yang buruk (bad day), mungkin peminat jumpa artis itu ketika mereka sedang tiada mood atau mungkin tengah penat.
Artis juga manusia biasa, mereka ada perasaan. Andai peminat ada masalah dengan artis itu lebih elok simpan sendiri, tak perlu untuk fitnah mereka sehingga buat orang lain benci mereka. Mungkin isu itu hanya isu personal antara peminat dan artis.
Anna berkata demikian ketika ditemui pada majlis Glommin Night With Anna Jobling yang diadakan di Subang, pada Sabtu.
Nama Anna baik
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, akui bersyukur apabila sehingga hari ini, namanya sentiasa berada sebagai selebriti yang ‘nicest’ pada trend tersebut.
Alhamdulillah, setakat ini nama saya berada di kiri (nicest). Tapi saya macam takut juga jika ada orang pernah nak lambai tangan pada saya kalau saya tidak perasan. Mungkin saya tidak pakai cermin mata.
Apa-apa pun, kalau saya sedang penat, tiada mood atau sedih sekali pun, saya akan sentiasa cakap yes kalau peminat mahu bergambar. Pada saya kalau kita tidak layan seseorang itu dengan baik, mudah sahaja cerita buruk akan tersebar.
Sementara itu, Anna turut menjelaskan bahawa dia akan terus memastikan namanya bersih daripada sebarang kontroversi dan enggan menimbulkan sebarang masalah.
Saya tidak pernah buat masalah dengan sesiapa sahaja atau perkara yang mengaitkan nama saya. Saya tidak ganggu sesiapa, saya hanya fokus dan sibuk dengan kerja. Kalau tak kerja pun, saya akan tidur.