Anak kepada penyanyi Ajai dan Nourul Depp iaitu Ayu Nazirah menjelaskan situasi sebenar berikutan tersebarnya dakwaan hubungan keruh antara dia dan ibunya adalah disebabkan aktres, Datin Maria Farida.
Artikel Berkaitan: ‘Ayu Baik, Kami Sakit Dia Jaga’ – Nourul Depp Minta Henti Spekulasi Hubungan Dengan Anak Sulung Bermasalah
Artikel Berkaitan: Puteri Sulung Nourul Depp Bercinta Dengan Anak Maria Farida, Netizen Respon; ‘Ayu Kena Tukar Imej Ni’
Ayu tak berdiam diri
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG), Ayu berkata sebuah portal berita telah menggunakan tajuk yang salah berhubung konflik berkenaan sehingga menimbulkan spekulasi yang negatif.
Seperti yang anda tahu sebelum ini ayah saya telah ditemu bual dan ada media yang salah menggunakan ayat sebagai tajuk artikel. Saya rasa ianya tak betul.
Menjelas lanjut, Ayu mengakui bahawa berlaku perselisihan faham antara dia dan ibunya namun menafikan dakwaan bahawa keretakan hubungan itu berpunca daripada Maria Farida.
Saya nak terangkan. Ya, saya ada bergaduh dengan ibu saya dan saya sudah memohon maaf kepadanya.
Apa yang saya nak betulkan di sini adalah, Datin Maria Farida bukan penyebab. Apa sahaja antara saya dan ibu saya hanya antara kami sahaja. Saya harap semua orang dapat menghormati perkara itu.
Sementara itu, anak sulung kepada komposer terkenal ini juga memohon agar pihak media tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan berita yang tidak sahih selain berharap agar kehidupan peribadinya tidak menjadi perhatian ramai.
Tolonglah, apa sahaja tajuk artikel janganlah memfitnah dan menuduh seseorang yang tidak melakukan kesalahan, seseorang yang begitu baik terhadap saya dan berhenti menyebarkan perkara mengarut tentang isu ini lagi.
Saya dengan ibu saya sudah berbaik dan saya harap anda semua menghormati saya terutama hal peribadi saya.
Dalam pada itu, Ayu turut mengucapkan terima kasih terhadap semua individu yang tidak putus-putus mendoakannya dan menyokongnya ketika menghadapi konflik berkenaan.
Terdahulu, Ajai dalam satu kenyataan berkata Ayu dan bekas isterinya sudah memperbaiki hubungan mereka dan menganggap hal tersebut adalah perkara biasa yang berlaku dalam pertalian ibu dan anak.
Sumber: Instagram Ayu