Pelakon, Sara Ali menganggap dirinya masih belum bersedia untuk memenangi trofi meskipun sudah beberapa kali tercalon dalam beberapa anugerah berprestij sebelum ini.
Artikel Berkaitan: Sara Ali Puji Usaha & Kesabaran Sabri Yunus Pikat Hati Angeline Tan – ‘Aku Ada Ketika Dia Orang Bercinta’
Belum bersedia untuk menang
Ketika ditemui OhBulan!, Sara atau nama lengkapnya Siti Sarah Hairi Ali berpendapat seseorang pelakon yang memenangi mana-mana anugerah perlu bersedia untuk memberikan ‘sesuatu’ kepada masyarakat.
Bagi saya, untuk menang ‘award’, mereka ini terpilih bukan sahaja berdasarkan kejayaan atau bakat tetapi berkait dengan diri seseorang pelakon itu sendiri.
Contohlah kalau seseorang itu menang, apa yang boleh dia berikan kepada masyarakat? Itu adalah satu tanggungjawab yang sangat besar.
Tambah Sara, dia juga terbuka sekiranya masih belum mempunyai rezeki untuk memenangi anugerah kerana masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan.
Sebab itu kalau saya tak menang apa-apa ‘award’ pun tak apa sebab pada saya, apa yang boleh diberikan semula kepada masyarakat?
Dan saya rasa mungkin sebab itu juga saya masih belum menang ‘award’ lagi dan tak mengapa, saya okay.
Sebab bila dah menang ‘award’, kena letakkan satu penanda aras yang tinggi. Apa berikutnya? Dan sejauh mana pula saya boleh pergi?
Jadi mungkin biarlah saya tak menang ‘award’, kekal di bawah saja dan boleh cuba setakat apa yang saya mampu dulu.
Sara berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang diadakan di TGV KLCC pada malam Isnin.
Impi menang FFM
Ketika ditanya anugerah yang paling diidam-idamkan, pelakon filem ‘Seratus’ ini mengatakan dirinya teringin untuk menggenggam anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM).
Kalau tanya saya untuk anugerah dalam negara, sudah tentu saya impikan FFM. Siapa tak nak kan?
Mungkin pelakon lain mengimpikan untuk memenangi anugerah di luar negara tetapi sekurang-kurangnya saya harap dapat menang satu anugerah di FFM.
Kita tengok Beto Kusyairy, dia menang anugerah pelakon pembantu dan pelakon terbaik pada tahun lepas. Kenapa dia menang? Bukan sebab setakat bakat sahaja tetapi sebab dia dah bersedia untuk berikan sesuatu kepada masyarakat.
Kalau boleh saya nak macam itu. Saya menang bila dah matang, ‘masak’ dan kalau berlakon boleh bagi rasa pada penonton.
Untuk perkembangan terbaharu, Sara bakal muncul menerusi filem ‘Bisikan Dosa’ yang akan mula ditayangkan di seluruh negara pada 9 Januari ini.
Selain Sara, filem arahan Faizul A. Rashid ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Che Puan Juliana Evans, Farid Kamil, Uqasha Senrose, Sherie Merlis dan ramai lagi.