Penyanyi, Black Hanifah menolak dakwaan yang mengatakan kapal mewah yang dimilikinya merupakan hasil daripada pengubahan wang haram.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Black Hanifah Dedah 3 Tahun ‘Struggle’ Untuk Beli Kapal Layar, Netizen Pula Ungkit Isu PKP Dulu
Artikel Berkaitan: Didakwa Beli Kapal Mewah Hasil ‘Cuci Duit’, Black Hanifah Kena Serangan Anxiety
Tidak cuci duit
Ketika ditemui Oh Bulan!, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhamad Hanafiah berkata, sekiranya dakwaan tersebut adalah benar, sudah pasti dirinya akan didakwa serta disiasat oleh pihak berkuasa.
Malah, tegasnya dia masih berfikiran waras dan tidak melanggar sebarang undang-undang yang ditetapkan oleh negara.
Saya menafikan sekeras-kerasnya perkara itu adalah tidak benar! Saya memiliki perniagaan yang berdaftar, saya bayar cukai setiap tahun. Saya ini rakyat Malaysia, saya akan ikut undang-undang negara.
Kalau benar saya cuci duit, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis mesti akan siasat dan saya tidak duduk di sini, saya duduk dalam lokap.
Tetapi sebab apa saya masih selamat kerana saya buat benda yang betul, semua aset yang saya miliki hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya selain daripada doa orang sekeliling.
Black berkata demikian ketika ditemui pada Konsert Jom Heboh yang diadakan di Stadium Shah Alam pada Ahad.
Hasil kerja keras
Dalam pada itu, pelantun lagu Teman Pengganti itu meluahkan rasa syukur apabila hasil simpanan dan kerja keras yang diaturnya selama beberapa tahun lalu membuahkan hasil.
Selain itu, Black turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang di sekelilingnya yang banyak mendoakan serta membantunya.
Alhamdulillah, terima kasih kepada kedua ibu bapa, isteri dan sahabat yang tak putus mendoakan saya bukan sahaja dalam industri tetapi dalam perniagaan yang baru sahaja ceburi.
Semua aset seperti kapal dan villa itu merupakan hasil daripada perancangan yang saya atur dengan baik selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu banyak ilmu baru yang saya belajar dan dalam masa sama saya belajar menyimpan.
Tetapi kalau untuk tahu lebih banyak tentang perjalanan saya dan usaha yang dilakukan, boleh terus ke channel Telegram saya. Di situ saya kongsikan semua dan macam-macam sama ada berkaitan dunia selebriti dan villa yang saya miliki.
Cita-cita
Melanjutkan bicara, Black menjelaskan dia ada menyimpan cita-cita dan impian untuk memiliki sebuah pusat peranginan miliknya sendiri.
Cita-cita saya memang ingin ada sebuah Hotel sendiri, saya lebih cenderung ke arah khidmat perhotelan punya perniagaan. Saya juga mahukan mendirikan resort. Buat masa sekarang saya ada Villa dan Insya-Allah akan tambah lagi tujuh buah Villa.
Doa-doakan, anak Melayu seperti saya berjaya. Daripada seorang peniaga ikan dan keluarga yang sederhana untuk bangkit serta buktikan saya boleh berjaya.
Dalam perkembangan lain, Black bakal muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Di Hujung Mimpi yang juga difahamkan bakal menjadi runut bunyi (OST) drama di TV3.