Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima tampil bersuara mengenai kemelut melibatkan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz bersama wanita yang mengaku sebagai ‘kekasih gelap’ iaitu Sarah Yasmine.
Artikel Berkaitan: Iqram Dinzly Minta Sarah Yasmine Henti Petik Nama Selebriti Lain – ‘Aliff Aziz Yang Buat Hal’
‘Henti kenduri selak kain!’
Ketika ditemui OhBulan!, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali menggesa agar Sarah menghentikan tindakannya yang seakan melakukan ‘kenduri’ selak kain sekaligus menyebarkan aib selebriti Malaysia.
Menurut Erma, Sarah juga sewajarnya menyelesaikan perkara ini berdua dengan Aliff tanpa melibatkan pihak lain yang sama sekali tidak mempunyai hubung kait dengan kemelut yang berlaku.
Seorang perempuan kecewa ditinggalkan kekasih. Dia juga bukan warganegara, masuk ke dalam negara aku kemudian buat ‘kenduri selak kain’ artis Malaysia tapi semua meraikan.
Media sosial, pengamal media semua raikan orang luar itu sedangkan masalah dia adalah dengan artis negaranya sendiri.
Balik negara kau dan selesaikan di sana. Jangan jatuhkan maruah orang dalam negara aku.
Tambah penerbit dan pengarah berusia 56 tahun itu, perbuatan Sarah itu juga sedikit sebanyak telah merosakkan nama baik industri Malaysia.
Itu yang saya sangat marah. Saya faham perasaan dia rasa kecewa selepas ditinggalkan kekasih selepas memberi segala-galanya tetapi jangan datang ke sini dan hancurkan industri seni Malaysia.
Erma berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi Drama Sangat Close Up bagi drama terbitannya iaitu Lelaki Itu yang diadakan di Hadramat Kitchen, Ampang pada malam Isnin.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan Sophia Albarakbah yang merupakan salah seorang pelakon bagi drama terbitannya itu, Erma menjelaskan bahawa dia sendiri meminta pelakon itu untuk tidak hadir kerana tidak mahu menjadi mangsa.
Jadi, saya tidak mahu Sophia jadi mangsa. Saya tidak peduli dia ada skandal atau tidak tetapi bukan ini caranya.
Sebab itu saya kata pada Sophia, jangan datang.
Sementara itu, pelakon yang terkenal dengan filem ‘Laila Isabella’ ini juga berharap pihak kementerian mengambil tindakan tegas terhadap Sarah yang dianggap keterlaluan.
Di mana Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia (SKMM)? Apa pihak kementerian lakukan untuk hentikan orang luar yang masuk dan hancurkan industri seni tanah air.
Saya harap kenduri selak kain ini dihentikan dan pihak SKMM lakukan sesuatu. Kita ada akta.
Kalau mereka boleh panggil saya dan Zul Ariffin untuk siasat isu drama Perempuan Itu sebelum ini, mengapa kita tidak boleh lakukan perkara sama sekarang?
Dia orang luar, bukan terlibat dalam industri kita. Berambus, keluar dari Malaysia dan selesaikan masalah mereka sendiri.
Dua-dua bukan orang Malaysia pun, tak perlu selak kain-kain artis Malaysia.
Terdahulu, Sarah Yasmine dengan beraninya berkongsi beberapa tangkap layar memaparkan perbualan di antara Aliff dan juga Ruhainies selepas kontroversi mereka ditangkap khalwat pada 9 Mac lalu.
Antara intipati perbualan tersebut ialah, Ruhainies didakwa telah menghasut Aliff untuk menjatuhkan isterinya, Bella Astillah. Malah, dia mendakwa mempunyai segala bukti perancangan yang dilakukan aktres terbabit.
Dalam pada itu, beberapa nama artis lain turut didakwa terpalit dengan pendedahan tersebut termasuk Sophia Albarakbah, Meerqeen dan Anna Jobling.