Insiden serangan tembakan yang berlaku di Christchurch, New Zealand pastinya meninggalkan kesan buat umat Islam di sana. Tragedi hitam itu telah melibatkan sekurang-kurangnya 50 nyawa terkorban termasuk warga New Zealand dan pelancong dari segenap dunia.
Menerusi Youtube Alif Satar telah menemubual Haji Kalam Alam iaitu salah seorang penduduk di Auckland menceritakan semula kejadian hitam itu. Temubual santai ini sedikit sebanyak meninggalkan perasaan sayu apabila mengenangkan semula insiden berkenaan.
Insiden tembakan di Masjid Christchurch
Alif Satar sempat menemubual Haji Mohammed Kalam Alam yang merupakan salah seorang penduduk di Auckland dan pemandu pelancong disana. Selain itu, dia telah berkhidmat sebagai guru di sekolah selama 10 tahun dengan mengajar mata pelajaran Al-Quran dan Islamic. Dia juga turut menguruskan surau di Auckland dan mengetuai khutbah Jumaat pada setiap hari Jumaat.
Tragedi tembakan 15 Mac 2019 menjadi insiden yang tidak dapat dilupakan oleh semua umat Islam. Dia segera membuat keputusan untuk ke Christchurch sebaik mendapat berita insiden itu.
Di Christchurch ada 2 masjid iaitu Masjid Al Noor dan Masjid Linwood. Masjid Al Noor adalah masjid utama di Christchurch dan ianya cukup besar. Majoriti komuniti Islam akan bersolat Jumaat di sana. Lebih kurang 700 orang berjemaah di sana.
Lelaki bersenjata itu berjalan masuk semasa khutbah pertama. Saya tahu dari beberapa saluran media. Ada berita telah diubah, dibesar-besarkan. Saya kenal kedua-dua imam dengan baik. Saya kenal kebanyakan mangsa yang mati syahid.
Berpura-pura mati terlantar di lantai
Haji Kalam turut berkongsi cerita mewakili mangsa yang terselamat dari insiden itu. Keadaan ketika itu menjadi cemas dan masing-masing berpura-pura mati terlantar di lantai masjid. Malah, ada juga berpura mati di dalam timbunan mayat yang lain.
Lelaki bersenjata berjalan masuk sambil menembak. Orang ramai berlari dan imam pula dihadang disebalik mimbar. Dia hanya duduk dan terdapat dinding besar dihadapannya. Jadi imam mendengar segalanya dan hanya menangis tidak terdaya.
Beberapa orang saudara dari Pakistan, dia dan anaknya cuba untuk menyerang suspek tetapi mereka turut ditembak. saya juga tahu beberapa orang berpura-pura mati terlantar di lantai.
Ada yang berpura mati dalam timbunan jenazah yang lain. Kelongsong peluru jatuh di belakangnya. Ketika itu dia hanya mampu membaca ayat Qursi sahaja dan tidak mampu berbuat apa.
Sumber: Alif Satar