Selepas insiden dipukul, pelakon Kamal Adli mengambil langkah untuk tidak terlalu menonjolkan diri di media sosial demi keselamatannya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Selepas Dipukul Di Singapura, Kamal Adli Takut Kongsi Kisah Peribadi Di Media Sosial
Artikel Berkaitan: Viral Video Suspek Serang & Pukul Kamal Adli
Trauma selepas dipukul
Menerusi temu bual bersama Melodi, Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata dia mengalami trauma selepas kejadian tersebut sehingga memberi kesan terhadap kehidupan sehariannya.
Bila jadi kejadian itu, saya putus asa dan trauma dengan media sosial, saya berhenti berlakon sekejap, berat badan saya naik. Kesannya membuatkan saya susah untuk percaya pada orang.
Masa benda itu terjadi, ia membuatkan saya berfikir panjang. Adakah kami menyakiti sesiapa?
Dalam pada itu, aktor berusia 38 tahun mendedahkan bahawa individu yang memukulnya mengakui bahawa dirinya sedang berhalusinasi ketika bertindak di luar kawalan.
Ada satu kenyataan, orang yang ketuk saya tu dia kata dia sedang berhalusinasi dengan mengatakan saya mencabul anak saudaranya sebab itu dia ketuk dan ludah saya.
Logik ke? Benda tak jadi pun, kau halusinasi je lepas tu ketuk orang, kalau aku mati macam mana?
Masa mula kena ketuk dia cakap lain, kemudian dia kena soal dia cakap lain selepas itu dia kata dia halusinasi pula.
Saya nak tahu juga kenapa dia ketuk. Apa yang mahkamah bagi hukuman untuk dia kalau berbaloi, maka berbaloilah.
Terkesan dengan perkara tersebut, pelakon filem Abang Long Fadil itu menitipkan nasihat kepada semua agar lebih berwaspada ketika berada di luar rumah.
Kami duduk dalam keadaan yang takut, tak tahu punca. Tak boleh pergi mana-mana, duduk rumah. Dekat tiga bulan saya trauma tak keluar rumah.
Bila dah ada anak lagi kena berjaga-jaga.
Ini peringatan untuk semua, berjaga-jagalah. Buat baik dengan semua orang pun tetap ada yang tak puas hati. Hati-hati.
Terdahulu, tular video pendek yang dimuat naik Uqasha di Instagram yang memaparkan dirinya sedang menangis di hospital dan memaklumkan suaminya telah diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.
Menurut Uqasha, ketika kejadian mereka sedang melayani peminat di sebuah ekspo yang berlangsung di Singapura sebelum ada seorang lelaki yang mencari suaminya.
Sumber: Melodi TV3