Akibat gangguan kebimbangan melampau (anxiety attack), pelakon Diana Danielle mengaku sudah beberapa hari sukar untuk bernafas. Menerusi beberapa perkongsian video di laman Instagram, Diana menceritakan kesakitan yang dirasai walaupun pelbagai cara rawatan sudah diambil.
Nafas tak puas
Menurut Diana, lebih kurang dua minggu lalu dia diserang gangguan kebimbangan melampau sehingga menyebabkan sukar tidur, jantung berdegup laju, tapak tangan berpeluh dan hilang selera makan. Diana menyangka dia dapat melawan gangguan tersebut namun beberapa hari lalu keadaan semakin teruk. Dia sukar untuk bernafas dan sakit di bahagian belakang.
Am i mengada-ngada?
Terbaru, keadaan semakin teruk apabila Diana dilihat menangis menanggung kesakitan. Memetik laporan Harian Metro, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa hari. Doktor memaklumkan tahap oksigen adalah 100 peratus manakala kadar degupan jantung sedikit laju berbanding biasa.
Saya tidak peduli keadaan rambut, rupa dan pakaian saya ketika ini. Hanya mereka yang pernah mengalami saja mampu faham perkara saya hadapi.
Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, ‘bertenang kerana semua itu tidak benar’.
Anda juga tidak tahu mengapa ia terjadi, apakah kerana kita lemah atau mengada-ngada?
Sebenarnya tidak kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih baik sekiranya cukup tidur.
Tetapi, semua yang berlaku ini di luar jangkaan. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan saya penat. Saya tidak menangis, kecuali jika ia terlalu melukakan.
Dada saya sakit disebabkan terlalu memaksa untuk bernafas. Tidak pernah saya bayangkan akan merakam video seperti ini dalam keadaan saya menangis dan ditunjuk kepada dunia
Tambah Diana lagi, dia berkongsi untuk kesedaran ramai dan berharap orang ramai tidak mengambil ringan mengenai serangan ini.
Sumber : Diana Danielle