Pelakon, Kamal Adli mendedahkan dirinya kini kurang berminat untuk aktif di media sosial susulan kejadian dirinya dipukul di Singapura beberapa bulan yang lalu.
Artikel Berkaitan: Viral Video Suspek Serang & Pukul Kamal Adli
Takut untuk kongsi apa-apa
Ketika ditemui OhBulan!, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal bin Ahmad Adli, 37, memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah membuatkan dirinya tiada mood dan berasa takut untuk berkongsi apa-apa mengenai kehidupannya kepada orang ramai.
Apa yang jadi dekat saya, lepas kejadian ni saya macam terkurang minat untuk bermain media sosial. Kalau korang tengok Instagram (IG) saya pun, saya kurang post. Di TikTok dan sebagainya pun saya kurang post apa-apa.
Benda ni buat saya tiba-tiba macam takut dan dia buat saya macam tiba-tiba auto hilang mood tau.
Saya nak dapatkan balik mood untuk buat posting dan sebagainya tu saya rasa ia perlukan masa sebab apa yang jadi ni besar sangat pada saya.
Sampaikan saya tertanya, ‘Apa salah aku eh? Aku rasa aku tak kacau orang’. Dan pada saya kalau kita baik macam mana pun tetap ada orang tak suka dan tak puas hati.
Jadi saya belajar untuk lebih berjaga-jaga dan kurangkan perkongsian di media sosial.
Kamal berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media dan tayangan perdana drama B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit yang diadakan di DADI Cinema Pavillion Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon, Uqasha Senrose itu juga sempat berkongsi kejadian sebenar ketika dipukul lelaki tersebut kepada media.
Masa tu saya dekat dalam booth meniaga dan masa tu ada seorang mak cik ni dia guna kerusi roda nak bergambar dengan saya.
Jadi saya keluar dari booth untuk bergambar dengan mak cik tu sebab dia guna kerusi roda kan?
Lepas tu saya pun tengok-tengoklah persekitaran booth waktu tu sebab saya tak pernah keluar dari booth sangat. Tiba-tiba ada orang panggil nama saya tapi bila saya pusing tak ada orang.
Kemudian, saya nampak seorang lelaki ni dan saya pun pergi ke dia dan tanya dia, ‘Ye bang?’.
Tiba-tiba dia macam nak keluarkan sesuatu.Pada mulanya saya ingatkan telefon bimbit tapi rupanya dia keluar kan cota dan terus pukul kepala saya.
Bersyukur dengan peluang yang ada
Ketika ditanya mengenai perasaan yang dirasai selepas kejadian yang berlaku itu, pelakon filem Abang Long Fadil itu mengatakan bahawa dia sangat bersyukur kerana masih berpeluang untuk hidup dan diberikan semula kesihatan untuk terus bekerja.
Saya bersyukur sebenarnya, bersyukur sangat. Saya ada peluang lagi untuk bersama keluarga, ada peluang lagi bersama isteri saya sendiri dan ada peluang untuk bekerja lagi. Saya bersyukur sangat.
Sebelum ni pun saya tak adalah jahat sangat tapi saya akan jadi lebih baiklah selepas kejadian ni.
Kejadian yang berlaku ni sedikit sebanyak berjaya membuka mata orang ramai serta rakan-rakan artis yang lain untuk lebih berjaga-jaga sebab kita tak tahu kan orang di sekeliling kita tu macam mana.
Selagi kes ini tak selesai, saya tak boleh berikan apa-apa kenyataan. Tetapi sampai sekarang saya masih tertanya-tanya kenapa dia ketuk saya.
Terdahulu, tularnya video pendek dimuat naik Uqasha di Instagram yang memaparkan dirinya sedang menangis di hospital dan memaklumkan suaminya telah diserang oleh seorang individu lelaki tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.
Menurut Uqasha, ketika kejadian mereka sedang melayani peminat di sebuah ekspo yang berlangsung di Singapura sebelum ada seorang lelaki yang mencari suaminya.
Video
@ohbulanofficial Kamal Adli mendedahkan dirinya kini kurang berminat untuk aktif di media sosial susulan kejadian dirinya di Singapura beberapa bulan yang lalu. #ohbulan #sembangentertainment ? original sound – OHBULAN!