berita

[VIDEO] ‘Syamsul Tarik Semula Tuntutan Nusyuz, Kami Mungkin Boleh Jadi Kawan’ – Puteri Sarah

April 11th, 2023 | by Zulaikha
Isu & Kontroversi

Seperti diketahui ramai, pengarah sensasi, Syamsul Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya, pelakon Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 21 Mac lalu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syamsul Yusof Fail Nusyuz, Dakwa Puteri Sarah Curang Dengan Bekas Kekasih Berstatus Suami Orang

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syamsul Yusof Setuju Nak Ceraikan Puteri Sarah

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Terlerai Sebuah Ikatan Kerana Kejahatan Seorang Manusia’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Mungkin Doa Ibu Bapa’ – Syamsul Yusof

Permohonan nusyuz

Bagaimanapun, Puteri Sarah memaklumkan Syamsul akan menarik semula tuntutan nusyuz dan perkara tersebut turut disahkan oleh peguam syarie aktres itu,  Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Kata Puteri Sarah, 38, dia juga tidak akan meneruskan tindakan untuk memfailkan pembelaan nusyuz.

Kami sudah berbincang, Syamsul akan menarik semula tuntutan nusyuz. Saya juga tidak akan memfailkan nusyuz.

Insya-Allah, semua tuntutan akan selesai termasuk hak penjagaan anak-anak.

Kami akan selesaikan syarat seperti hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. Saya sudah memberitahu Syamsul, dia okay sahaja. Alhamdulillah.

Sasaran saya nak hidup dengan tenang. Syukur, semuanya selesai dengan baik.

Puteri Sarah berkata demikian sejurus usai prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan, pagi Isnin.

Bincang dengan baik

Dalam pada itu, pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berasa lega apabila pertemuan berbuka puasa membawa sinar persepakatan selepas empat tahun rumah tangga mereka bergolak.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu juga bersikap terbuka untuk berkawan dengan Syamsul demi dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kami berjumpa di rumah, semalam. Secara kebetulan, Syamsul membawa anak-anak berbuka puasa dan bertemu saya selepas itu.

Apabila duduk bersama, kami langsung tak bergaduh, malah boleh berbincang dengan baik. Jujurnya, saya juga mahukan segala-galanya berakhir dengan tenang, tiada pergaduhan atau permusuhan.

Memang betul sebelum ini saya tidak mahu bersemuka, tetapi saya juga tidak mahu bermusuhan. Kami mungkin boleh jadi kawan demi kebaikan anak-anak.

Saya nak teruskan hidup dengan tenang dan tak mahu ada dendam dalam hati. Jadi, kami berbincang dan capai kata sepakat dalam tuntutan perceraian. Alhamdulillah, semua syarat-syarat sudah dipersetujui.

Pada Isnin, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April ini untuk pengarah sensasi melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin ,38, manakala peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau Mohd Syamsul Mohd Yusof.

Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan isteri pertama, Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), di sini, pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

SKIP THIS AD ×