Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjawab persoalan mengenai isu ‘childfree’ yang menjadi perbualan hangat wargamaya di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Artikel Berkaitan: Sampai Bila Bapa Perlu Tanggung Nafkah Anak? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus
‘Itu bukan seruan Islam’
Menerusi video yang dimuat naik di YouTube, UAI menjelaskan bahawa trend tersebut diamalkan oleh pasangan bukan beragama Islam dan ia merupakan trend yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tambah UAI, junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga menuntut orang Islam untuk mempunyai anak yang ramai supaya baginda mempunyai umat yang paling ramai di hari Kiamat kelak.
Nikah tapi tak nak anak, ini bukan seruan Islam, tapi seruan orang di luar agama Islam. Orang beriman akan ikut Nabi (Muhammad).
Nabi juga bersabda bahawa, ‘Kahwinlah kamu dengan wanita supaya ramai anak kerana aku bangga menjadi Nabi yang ramai umat pada hari Kiamat’.
UAI mengulas mengenai isu tersebut ketika menjawab soalan yang ditanyakan oleh para jemaah ketika mengadakan ceramah di sebuah masjid di Terengganu.
Dalam pada itu, anak yang dilahirkan ke muka bumi ini juga akan menjadi penyambung nasab bagi keturunan sesebuah pasangan yang bernikah.
Mereka juga mampu untuk mendoakan kesejahteraan buat ibu bapa apabila meningkat dewasa kelak.
Adakah wajib untuk beranak? Tidak, hukumnya adalah sunat. Tetapi dengan adanya anak itulah, mereka akan menyambung kesinambungan nasab kita.
Di mana, bila kita meninggal dunia nanti adanya anak yang mendoakan bagi kita.
Tak beranak tiada masalah tetapi ia akhirnya akan menjadi kufur kerana tidak yakin kepada Allah yang memberi rezeki.
Terdahulu, isu mengenai ‘childfree’ ini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan wargamaya di aplikasi X selepas seorang individu menulis ciapan bahawa diriny mencemburui ahli keluarganya yang mempraktikkan childfree.
Bukan itu sahaja, individu tersebut juga menganggap bahawa memiliki anak memerlukan duit yang banyak.
Video penuh
Sumber: YouTube Ustaz Azhar Idrus