berita

‘Ya Allah, Jagalah Dia Untukku’ – Sebak Baca Luahan Ibu Yang Kehilangan Anak Kerana Kanser

May 7th, 2019 | by Ai
Kini Trending

Hati ibu mana yang tak luluh tatkala anak yang dilahirkan dan membesar depan mata akhirnya telah pergi buat selama-lamanya. Hanya Allah yang tahu keperitan yang dirasai dan terpaksa menerima suratan yang sudah tertulis. Itulah yang dilalui oleh seorang ibu ini apabila anak yang disayangi sepenuh hati meninggal dunia akibat kanser.

Kakak penghuni kedua rahim ibu

Hari jumaat kedua tanpa dirimu sayang, hari ini baru ibu kuat untuk luahkan apa yang terpendam dalam hati ibu..

30092011 ~ 26042019

Alfatihah buat anak syurga ibu IMAN ZARA BINTI ZAMZURIN.

Selama 8 tahun Allah SWT bagi pinjam kakak untuk ibu, dah tiba masa kakak kembali ke pangkuan ilahi. Kakak penghuni kedua rahim ibu selepas ibu keguguran, tapi kakak yang pertama bagi ibu merasa nikmat sebagai ibu, kakak yang pertama bagi ibu pengalaman berjaga malam,tukar lampin dan menyusu.. sungguh indah pengalaman itu kakak. Hari ke hari kakak membesar di depan mata ibu, membesar sebagai anak yang bijak, anak yang sangat sopan.

Alhamdulillah.. rezeki ibu dapat anak seperti kakak. Pada tahun 2016 kakak diuji sakit. Allah saja yang tahu peritnya ibu nak terima hakikat ini, anak sekecil ini diduga sakit yang orang semua takut iaitu KANSER. Ibu mana yang sanggup nak terima? Namun kakak lalui dengan tenang, semangat kakak sangat kuat. Ibu dapat lihat kekuatan itu lahir dari diri kakak.. semangat itu yang buat ibu menjadi kuat dan tabah untuk harungi dugaan ini.

Sel kanser dah tak ada, tapi..

Awal bulan Disember 2018 doktor sahkan sel-sel kanser itu sudah tiada. Ya Allah, ibu terus sujud syukur, ibu sangat gembira sangat, anak ibu dah kembali sihat, dah boleh kembali ke sekolah. Kakak pun tak sabar nak sekolah balik. Tapi bila dah sekolah kakak sering kali penat, ibu anggap kakak mungkin tak biasa lagi dengan jadual sekolah. Hampir 3 minggu kakak tak nak sekolah, kalau pergi pun separuh hari je..

Tiba lah satu hari perut kakak sakit, bila ibu nak urut ibu rasa keras kat tengah-tengah perut itu.. Ibu tak sedap hati ibu ajak abah pegi HKL untuk rawatan lanjut. Hasil CT Scan keputusan sangat mengejutkan. Sel-sel kanser itu datang balik! kali ni dah merebak ke hati, limpa, perut dan tulang. Ya Allah, beratnya dugaan ini.

Lagi mengejutkan doktor sahkan kakak tak dapat teruskan rawatan lagi kerana kakak tak kan dapat bertahan lama. Ibu menangis semahu-mahunya depan doktor. Semua yang berlaku bagaikan mimpi, longlai tubuh ibu nak terima hakikat ini. Ibu dan abah buat keputusan untuk bawa pulang kakak ke kampung.

Di sana kita punya keluarga, kita punya sokongan di saat-saat kita tengah sedih. Makin hari kesihatan kakak makin merosot, bila tengok kakak sakit, ibu redha kakak pergi, ibu tak sanggup kakak. Tapi kakak sangat kuat, kalau sakit pun hanya air mata yang mengalir. Ibu genggam tangan kakak, ibu ajar kakak berzikir agar kesakitan itu dapat reda sikit..makin hari perut kakak makin besar..

Kakak dah tinggalkan ibu..

Doktor pakar buat keputusan untuk tebuk perut kakak untuk buang cecair yang ada dalam perut kakak. 25.04.2019 kakak masuk hospital tapi malangnya prosedur itu tak dapat diteruskan sebab result darah kakak kurang memuaskan, terpaksa tunda sehingga result darah cantik. Malam itu kakak tak nak tido, kakak asyik meracau je, macam-macam kakak cakap, kakak nak relaks, kakak nak masuk bilik, kakak nak balik.

Pukul 4 pagi kakak cakap ade orang datang, ibu tengok tak ada sape pun datang. Lepas itu kakak cakap sakit. Ibu bagi makan ubat, kakak meracau lagi, makin lama kakak makin kurang respon. Heartbeat kakak pun makin berkurang, ibu ingat kakak nak tido biasa lepas makan ubat tahan sakit kakak akan tido.. rupenya kakak tido selama-lamanya..

Patut la kakak memang tak nak tido malam itu, rupanya kakak nak tinggalkan ibu buat selama-lamanya. Ya Allah, kakak dah tinggalkan ibu, abah dan nia, tinggallah kami di dunia ini, berpisah di dunia selama-lamanya. Ibu rasa ibu kuat rupanya ibu tak kuat kakak, rindunya pada kakak hanya Allah saja yang tahu, tak puas lagi ibu jaga kakak.

Tapi Allah lebih sayangkan kakak, dari kakak menanggung sakit lebih baik kakak pergi. Ibu percaya di sana lebih indah, tiada lagi kesakitan yang perlu kakak tanggung. Alhamdulillah, semua proses pengebumian kakak ibu dapat buat, mandikan, kafankan, senyum je muka kakak, cantik sangat. Tak puas ibu tengok, seolah-olah kakak sedang bergembira menuju kepada Allah. Ya Allah, jagalah dia untukku, sesungguhnya aku sangat rindu pada nya.. AL FATIHAH

**Coretan ini bukan untuk menagih simpati sesiapa.. coretan ini hanya luahan hati seorang ibu yang kehilangan anaknya**

Sumber: Juwita Marlinda

SKIP THIS AD ×