
Di kala suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dipenuhi sorakan, tangisan dan laungan menyambut kepulangan sukarelawan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), seorang daripada mereka memilih untuk pulang secara senyap dan sederhana.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] 23 Pejuang Global Sumud Flotilla Selamat Tiba Di Kuala Lumpur.. 2,000 Sambut Kepulangan Dengan Laungan ‘Bebas Gaza’
Guna laluan lain

Sukarelawan tersebut ialah Haji Zainal Rashid Ahmad, 58, atau mesra disapa ZRA yang dikatakan meninggalkan lapangan terbang menggunakan laluan lain tanpa sebarang perhatian umum dan liputan media.
Perkara itu dikongsikan oleh rakannya dikenali sebagai Syaril A. Kadir menerusi sebuah hantaran di Facebook sehingga menyentuh hati orang ramai.
Di saat keriuhan sambutan dan laungan keperwiraan di KLIA, saudara kami Tn Hj Zainal Rashid Ahmad pulang secara senyap-senyap ke rumahnya dengan dibantu saudara Syirfan Indra dan geng-geng dia.
Airmata kami semua berlinangan bila memeluk lelaki berusia 58 tahun ini di rumahnya tengah malam Selasa. Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA.
Menurut Syaril lagi, keadaan fizikal ZRA kelihatan lemah selepas melalui misi mencabar itu.
Tubuh Zainal makin kurus, keletihan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tapi itulah ZRA, dia telah laksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini.
Dia serahkan semuanya pada Allah yang Maha Esa. Dia ingin kembali sebagai insan biasa seperti mana hari-hari sebelumnya. Jangan buang masa memuji dan menyanjung dirinya. Dia tidak mahu semua itu.
Tindakan wira itu menggambarkan keperibadian sejati seorang pejuang kemanusiaan yang berjuang bukan untuk nama tetapi kerana tanggungjawab dan iman.
Meskipun kepulangannya tidak disambut dengan sorakan ribuan orang seperti sukarelawan lain, keikhlasan yang ditunjukkan oleh ZRA meninggalkan kesan mendalam buat rakan-rakan serta masyarakat yang mengenalinya.
ZRA merupakan antara 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF iaitu satu inisiatif kemanusiaan antarabangsa yang berlayar menuju sempadan Gaza bagi menyalurkan bantuan dan membawa mesej solidariti kepada rakyat Palestin yang dizalimi.
Sumber: Facebook








