berita

10 Jam Proses Mencuci & Pengepaman, Rakyat Selangor Akan Dapat Bekalan Air Tak Lama Lagi

September 5th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini melaporkan negeri Selangor mengalami gangguan bekalan air sehingga berlanjutan tempoh empat hari bermula 4 September 2020. Sehubungan itu, rata-rata penduduk di negeri tersebut juga merungut sukar untuk melakukan aktiviti seharian ekoran bekalan air terputus.

Artikel berkaitan: Gangguan Bekalan Air Di Selangor Dijangka Berlanjutan Hingga Empat Hari

Terbaru, Air Selangor memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam, 4 September 2020 secara berperingkat-peringkat. Ini adalah usaha segera dalam mengembalikan semula kehidupan penduduk seperti sedia kala.

10 jam aktiviti pencucian dan pengepaman

Pasukan Air Selangor melaporkan mengambil masa selama 10 jam untuk aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA. Proses ini telah selesai dilakukan pada jam 8.30 pagi, 5 September 2020 sebelum dapat diagihkan kepada penduduk.

Walaubagaimanapun, Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu. Air juga perlu diisi kesemua tangki utama yang telah kosong dan memastikan tekanan air mencukupi sebelum proses pengagihan.

Proses pemulihan sumber air mentah

Sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dari air mentah Empangan Sungai Selangor akan dilepaskan. Begitu juga, di Empangan Sungai Tinggi sebanyak 800 JLH, HORAS 600 sebanyak 150 JLH dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 582 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

Bantuan bekalan air

Berhubung masalah ini, Air Selangor telah mendapat bantuan dari 9 lori tangki operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd ( SAJ) untuk membantu mengagihkan air kepada penduduk yang terjejas.

Bantuan bekalan air kecemasan yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan sebanyak 114 lori tangki termasuk 9 dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum 5 liter kepada para pengguna.

Sumber: Air Selangor

SKIP THIS AD ×