Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza memiliki impian untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto menerusi lagu Menjaga Cintamu yang juga lagu runut bunyi (OST) Filem Anwar, The Untold Story.
Filem Anwar, The Untold Story merupakan karya pengarah dari Indonesia, Viva Westi dan terbitan Bianglala Entertaiment. Lagu ‘Menjaga Cintamu’ ini adalah ciptaan Andi Rianto dan lirik daripada Sekar Ayu Asmara.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Kurang Yakin Tapi Di Luar Negara Saya Bercakap Bahasa Inggeris Kerana Mereka Tidak Judge’ – Siti Nurhaliza
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Siti Nurhaliza Comel Tanpa ‘Make Up’, Peminat Ingat Budak Sekolah
Artikel Berkaitan: Dagu Aafiyah Berjahit Jatuh Skuter, Siti Nurhaliza Kena Marah Dengan Datuk K
Impian tercapai
Menurut Siti, peluang yang diberikan kepadanya untuk bekerjasama bersama komposer hebat dari seberang itu merupakan satu perkara yang bermakna buatnya. Tambahnya, dirinya telah lama menyimpan hasrat tersebut.
Siti turut berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Saya adalah penyanyi dan tugasan saya adalah menyanyi. Pada masa yang sama, saya juga mempunyai ramai peminat di Indonesia.
Saya jarang menolak untuk menyampaikan lagu-lagu OST sebelum ini. Apabila pihak penerbit filem ini datang bertemu dengan pengurusan saya, meraka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.
Tambah Siti, proses perbincangan berjalan lancar semasa dirinya menerima penerangan mengenai filem Anwar, The Untold Story.
Apabila ditanya tentang lagu OST itu sendiri, Siti memaklumkan lagu ‘Menjaga Cintamu’ menggambarkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan secara amnya untuk wanita yang setia dalam mencintai pasangan mereka.
Katanya, dia setuju untuk menyanyikan kerana yakin dengan kekuatan lagu ini serta tertarik dengan mesej kesetiaan seorang wanita.
Pengalaman berharga
Difahamkan, Siti dalam fasa menerbitkan album terbaharu sekali gus memudahkan untuknya memahami lagu dan lirik OST berkenaan yang menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita.
Berkongsi pengalaman di studio, Siti memaklumkan ianya berlangsung selama sejam dan komposer dari seberang itu sendiri yang menjaga vokal dan menerbitkannya.
Siti akui gementar sepanjang proses rakaman lagu itu namun ianya merupakan pengalaman baru buatnya.
Saya berdepan dengan cabaran untuk menyampaikan lagu ‘Menjaga Cintamu’ di studio kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus Covid-19. Saya sudah berusaha yang terbaik untuk menyampaikan lagu itu.
Proses rakaman dibuat di Malaysia iaitu di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito.
Apabila ditanya perbezaan bekerjasama dengan komposer Indonesia, Siti menyatakan bahawa ianya adalah pengalaman dan guru berharga baginya setiap kali masuk ke studio untuk rakaman.
Siti meluahkan rasa syukur kerana sering diberi peluang untuk menyanyikan lagu-lagu dari komposer Indonesia. Dalam pada itu, Siti lebih memahami cara mereka bekerja.
Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik daripada penyanyi, begitu juga dengan Andi.
Saya juga merakamkan lagu ini selama sejam dan Andi juga terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selamat dua jam atau lebih.
Namun, lagu ini memang senang masuk ke dalam hati dan dapat saya nyanyikan dalam tempoh tidak begitu lama.
Filem Anwar, The Untold Story menceritakan kisah ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membabitkan kos sebanyak RM10 juta ini menampilkan barisan pelakonan hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Farid Kamil, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Filem ini akan menjengah ke pawagam seluruh tanah air pada Mei nanti.