Pemenang Trofi Bintang Paling Popular ABPBH 35, Bell Ngasri tidak menolak untuk menerima tawaran lakonan bagi watak serius walaupun dia lebih dikenali dengan karakter komedi.
Artikel Berkaitan: ‘Tak Payah Marah Kalau Pendatang Baru Perangai Diva’ – Bell Ngasri
Artikel Berkaitan: ABPBH35: Bell Ngasri Raih 12 Juta Undi! Tewaskan Saingan Terdekat Anna Jobling & Khai Bahar
Hargai peminat
Ketika ditemui OhBulan!, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkongsi tentang perkembangan dirinya selepas dinobatkan sebagai pemenang pada ABPBH lalu.
Bell berkata dia kini lebih gemar untuk bertemu dengan peminat sebagai tanda penghargaan terhadap undian yang diberikan.
Alhamdulillah, lepas menang sekarang bertambah sibuk tapi dalam masa yang sama bukan semua benda saya dapat buat. Tawaran pula banyak dan bagus-bagus.
Pada masa yang sama ketika shooting atau show sebenarnya saya juga suka nak jumpa peminat. Contohnya baru-baru ini shooting di Sabah, seronok saya dapat jumpa mereka.
Dalam pada itu, aktor berusia 43 tahun ini berkata dia juga menyimpan hasrat untuk melakonkan watak yang lebih serius selepas ada segelintir peminat yang menzahirkan rasa rindu untuk melihat dirinya membawa watak yang berbeza.
Itu pun antara benda yang memang saya buat juga tapi tak ada tawaran. Watak yang ‘seronok-seronok’ itu ada banyak. Saya nak buat sebab memang ada peminat yang minta, mereka pun undi saya.
Saya berlakon watak-watak serius sudah bertahun-tahun, macam-macam watak dah saya bawa. Jadi saya tak kisah nak bawa watak serius. Cuma orang mungkin rindu nak tengok saya buat watak serius semula. Bagi saya boleh tak ada masalah.
Bell berkata demikian di sidang media drama Hikayat Pak Belalang yang berlangsung di Pavillion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, pelakon drama 16 Puasa ini menegaskan bahawa setiap naskah yang dilakonkan adalah untuk memberi impak hiburan yang baik kepada penonton dan bukanlah untuk kepuasan diri sendiri semata-mata.
Dalam apa jua yang saya buat dari dulu lagi, saya sebenarnya bukan buat untuk diri saya atau pun orang lain..saya buat untuk penonton.
Apa yang penting adalah, adakah penonton suka dengan lakonan saya, bukan saya yang suka berlakon cerita itu. Tambah-tambah lagi kalau filem, mestilah kena buat setimpal dengan duit yang penonton bayar.
Untuk info, drama yang berkisarkan tentang lagenda Nujum Pak Belalang itu juga turut dibintangi oleh Amy Mastura, Haziq, Datuk Jalaluddin Hassan, Usop Wilcha dan ramai lagi.