berita

DidikTV: Ntv7 Kini Hub Pendidikan Malaysia, Akses Kepada Pembelajaran Berkualiti

February 17th, 2021 | by Wan
Kini Trending

Didik TV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara rasminya telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Seiring dengan inisiatif ini, rombakan jadual penyiaran di ntv7 telah memberi laluan kepada saluran DidikTV KPM yang akan bersiaran setiap hari.

Artikel Berkaitan: DidikTV: Media Prima Nafi Ntv7 Henti Operasi

Kandungan yang disiarkan ini telah diluluskan oleh KPM selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan. Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.

Kerajaan sentiasa komited

Perubahan dalam kandungan saluran ntv7 merupakan satu sokongan drastik dalam membantu usaha KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.

Perdana Menteri ketika pelancaran itu berkata KPM sentiasa komited untuk menyediakan akses pendidikan kepada pelajar yang kini melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kerajaan sentiasa peka dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa. Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran, maka KPM telah menyediakan slot TV Pendidikan di beberapa saluran.

Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.

Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.

Tarik minat pelajar

Sementara itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Radzi Jidin berkata kandungan DidikTV KPM akan disusun dengan rapi, sarat dengan pelbagai program berbentuk pelajaran yang menghiburkan bagi menarik minat pelajar.

Ilmu tak terhad hanya kepada mata pelajaran. Banyak perkara-perkara yang murid boleh belajar di DidikTV. Ada program didik hibur, program antarabangsa dan program kemahiran. Kita akan ada program wartawan kadet bagi membolehkan murid menunjukkan bakat mereka.

Kami di KPM akan berusaha menyusun supaya setiap program mempunyai manfaat yang jelas dan memberi ruang kepada murid mendapat satu pandangan  dunia yang lebih menyeluruh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah.

Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari, pukul 7.30 malam dan siaran ulangan pada pukul 12.00 tengah hari keesokannya. Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan ko-kurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan.

Di samping itu, tiga program tersedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar. Berita baik buat calon-calon SPM, ntv7 akan menambah slot waktu program popular Road To Success SPM 2020 bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini.

SKIP THIS AD ×