
Di sebalik persembahan yang memukau, kumpulan terkenal K-pop, EXO mengakui cuaca panas di Malaysia merupakan satu kejutan buat mereka ketika menjayakan konsert EXO PLANET #6 – EXhOrizon yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu lalu.
Artikel Berkaitan: Chen EXO Bakal Tutup Tirai Jelajah ‘Arcadia’ Di Kuala Lumpur Pada 29 Mac Ini
Artikel Berkaitan: Isteri Minat K-pop, Suami Rela Pasang Sepanduk Foto Suntingan Isteri Duduk Sebelah Sehun EXO
Panas

Selepas mendendangkan beberapa set lagu, beberapa anggota kumpulan itu duduk di hadapan kipas pendek yang disediakan di atas pentas.
Ketuanya, Suho yang juga berpeluh kelihatan penat namun tetap mengucapkan kata-kata aluan selain berinteraksi dengan peminat.
Panas gila dekat sini. Saya tidak tahu nak cakap apa sebab speechless. Tetapi, adakah awak semua suka dengan persembahan kami?
Tidak ketinggalan, anggota lain seperti Chanyeol, Kai, D.O dan juga Sehun turut bermandi peluh, namun tidak membiarkan cuaca panas menjejaskan persembahan apabila mereka tetap tampil penuh bertenaga menghiburkan hampir 50,000 peminat.
Pada malam itu juga, EXO meminta beberapa orang peminat untuk menunjukkan bakat tarian mereka.
Sebagai ganjaran, para anggota kemudian menghadiahkan aksi comel yang mencuit hati hadirin.
Selepas menyaksikan persembahan tersebut, Sehun berkata Kuala Lumpur kini berada di kedudukan teratas dan memegang takhta pertama bagi kategori dance battle sepanjang siri jelajah mereka setakat ini.
Sebelum tirai konsert dilabuhkan, D.O sempat mengingatkan para peminat agar menjaga kesihatan dengan minum air secukupnya selepas pulang ke rumah.
Selepas konsert habis, saya harap kalian semua pulang dan minum air yang secukupnya, okay?
Hari ini saya sangat gembira dan berharap menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan buat kalian.
Jangan lupa ambil vitamin, faham tak? Kita jumpa lagi nanti. Terima kasih.
EXO menampilkan kira-kira 24 buah lagu antaranya Growl, Call Me Baby, Love Me Right, Monster, Gravity, Back Pocket, El Dorado dan banyak lagi.
Sebagai rekod, konsert kali ini menandakan kepulangan EXO ke Malaysia selepas tujuh tahun.








