Seperti yang kita tahu, penyanyi terkenal Indonesia yang juga bekas vokalis bagi kumpulan Nidji, Giring kini sedang giat aktif menceburkan dirinya dalam bidang politik.
Artikel Berkaitan: Giring Ditawar 1 Bilion Untuk Keluar Daripada Kumpulan Nidji
Joko Widodo pencetus diri ceburi politik
Giring yang kini menyandang jawatan sebagai Presiden Parti Solidariti Indonesia (PSI) mendedahkan bahawa individu yang menjadi pencetus kepada penglibatannya dalam bidang politik ialah Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Jokowi! Jokowi merupakan contoh figura yang memulakan karier politiknya dari kosong, tiada apa-apa. Yang pada awalnya merupakan seorang tukang kayu, seterusnya menjadi wakil rakyat dan governor sehinggalah menjadi Presiden.
Jokowi juga merupakan contoh seorang yang perbuatannya, percakapannya, tindakannya hanya dilakukan untuk rakyat.
Dan sekarang penerimaan Jokowi itu sangat bagus di mana lebih 80 peratus yang sangat menyukainya meskipun kini dia berada di fasa penghujung sebagai seorang Presiden.
Saya akui Indonesia masih banyak kekurangan tetapi boleh saya katakan Indonesia semakin maju sepanjang pemerintahannya.
Giring mendedahkan perkara itu ketika ditemui OhBulan! ketika sidang media Konsert D’Masiv Road To The World yang bertempat di Ideas Hotel pada petang Khamis.
Banyak pengorbanan yang perlu dibuat
Giring turut mengakui penglibatannya dalam bidang politik memerlukannya untuk berkorban dan melupakan bidang seni buat sementara waktu namun dia menyatakan minat yang sangat mendalam terhadap kedua-dua bidang yang diceburi ketika ini.
Pengorbanan yang perlu dibuat itu bukan sedikit, tetapi banyak. Saya kira ketika ini saya lebih mengutamakan bidang politik 99 peratus lebih berbanding bidang nyanyian.
Saya sukakan kedua-duanya (politik dan bidang nyanyian). Pada saya kedua-duanya adalah sama cuma yang membezakan ialah politik memerlukan kita untuk berkhidmat untuk rakyat manakala menyanyi ini memerlukan kita untuk menghiburkan mereka.
Giring juga menyatakan bahawa meskipun dia perlu berkorban dengan meninggalkan dunia nyanyian buat seketika namun, dia merasakan pengorbanannya itu sangat berbaloi.
Saya rasakan pengorbanan saya itu sangat berbaloi kerana dengan itu (penglibatan dalam bidang politik), saya dapat memastikan politik Indonesia sentiasa bersih dan bebas rasuah. Itulah yang harus diperjuangkan.
Sangat merindui Nidji
Dalam pada itu, Giring mendedahkan bahawa dia sangat merindui Nidji dan berharap dapat mengadakan sebuah konsert reunion bersama band terkenal Indonesia itu selepas dia menghabiskan tempohnya berkhidmat sebagai Presiden PSI.
Tahun 2025 akan datang merupakan tahun di mana tempoh jawatan saya sebagai Presiden PSI akan tamat, dan saya perlu serahkan baton kepada calon dan individu yang lain.
Dan ketika ini saya sangat rindukan Nidji, dan teringi sekali untuk reunion bersama mengadakan konsert.
Sekadar info, Giring mengambil keputusan untuk meninggalkan band terkenal Indonesia, Giring pada tahun 2017 dan beralih arah ke bidang politik dengan menyertai Parti Solidariti Indonesia (PSI).