Penyanyi dan pelakon Hazama sering kali dilihat membawa watak komedi sepanjang kerjayanya dalam industri hiburan. Namun begitu, selepas 16 tahun berada di industri seni tanah air, sudah tiba masanya untuk Hazama beraksi dalam filem bergenre aksi yang lebih mencabar kemampuannya.
Artikel Berkaitan: Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang Telan Kos RM13 Juta
Artikel Berkaitan: Adlin Aman Ramli Kembali Berlakon, Sanggup Lebam-Lebam Demi Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang
Genre aksi
Ketika ditemui OhBulan!, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi akui tawaran berlakon dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini merupakan satu peluang yang besar buatnya.
Katanya, dia turut meminati filem bergenre aksi serta ingin keluar dari zon selesa dalam pembawakan watak untuk sesebuah karya.
Sebelum ini, saya sering ditawarkan watak komedi atau watak yang baik dalam lakonan. Sampai masanya saya keluar dari zon selesa.
Saya sukar menolak apabila ditawarkan watak penjenayah, Kadok. Pada masa yang sama, saya memang minat filem aksi yang mengangkat wira perairan negara walaupun bukan watak utama.
Tambahnya, ini merupakan filem ketujuhnya yang berlokasi di Pulau Langkawi, Kedah selama sebulan demi memberi fokus yang baik untuk menjayakan filem tersebut. Terdapat juga lokasi yang lain seperti kawasan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang selama tiga hari.
Bersyukur bersama pelakon senior
Apabila ditanya tentang wataknya, Hazama, 38, menyatakan dia banyak berseloroh dengan Adlin Aman Ramlie oleh kerana watak yang dibawanya berkait rapat dengan pelakon senior itu.
Hazama berkata, dia menerima banyak bimbingan ketika penggambaran dijalankan.
Saya bawa watak Kadok iaitu sepupu kepada ketua penjenayah, Samat (Adlin Aman Ramlie) dalam filem ini. Saya bersyukur dapat berguru dengan Adlin, kami pun sudah kenal sejak dalam program realiti, Akademi Fantasia.
Selain Adlin, saya juga dapat bekerja dengan pelakon dan pengarah hebat, Sabri Yunus.
Bila berlakon bersama, saya dapat sama ‘vibe‘ yang baik. Adlin banyak memberi bimbingan pada saya untuk menjiwai watak yang sudah diamanahkan (Kadok).
Kami banyak berbincang dengan barisan pelakon lain untuk membawa watak ahli kumpulan penjenayah supaya dapat keserasian bersama.
Filem yang berjaya
Dalam pada itu, untuk menjayakan watak Kadok dalam filem ini semestinya mempunyai cabaran buat Hazama yang baru mula berjinak dengan filem bergenre aksi.
Saya perlu buat percubaan babak aksi berlawan dengan Saharul sebanyak 150 kali untuk dapatkan hasil terbaik mengikut tuntutan skrip.
Ianya adalah babak aksi pertama dan memerlukan sebanyak itu kerana kita perlukan sudut yang betul depan kamera dan mengikut masanya. Terus terang, babak aksi ini paling berat kerana memerlukan stamina yang tinggi.
Dari segi latihan, Hazama dibantu oleh koreografer untuk melakonkan babak aksi dalam filem tersebut.
Saya hanya berlatih satu hari untuk melakonkan babak aksi di lokasi. Saya sudah biasa buat persediaan dari segi stamina.
Sudah namanya babak aksi, saya sakit badan selepas selesai penggambaran pada keesokan harinya.
Selain itu, Hazama turut berkongsi pengalaman bekerja dengan arwah Pitt selaku pengarah filem tersebut.
Bila sudah bekerja dengannya, saya nampak arwah seorang yang terus terang dan jujur. Kami dapat meluangkan masa bersama bila babak saya sudah selesai.
Saya masih ingat perancangan kami untuk membuat lagu runut bunyi filem ini pada hari akhir penggambaran. Arwah inginkan lagu bergenre rock.
Mesej terakhir arwah hantar juga adalah tentang rujukan lagu yang kami mahu hasilkan. Kami merancang mengenai lagu di studio, tetapi tidak sempat apabila arwah meninggal dunia.
Saya dapat berita itu ketika siaran langsung program Mentor pada tahun 2019.
Susulan daripada itu, Hazama berharap agar kutipan filem akan mencapai sasaran penerbit yang mengeluarkan kos tinggi iaitu sebanyak RM13 juta demi menghasilkan karya yang terbaik. Katanya, dia inginkan filem Coast Guard Malaysia menjadi antara filem yang berjaya tahun ini.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang menampilkan gandingan aktor dan aktres popular seperti Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.
Selain Hazama, filem ini turut disertai oleh bakat-bakat yang hebat seperti Adlin Aman Ramlie, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Afandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios (PWS), Media Prima Berhad (MPB).
Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Februari lalu yang ditayangkan secara serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.