berita

Kawan Food Bhd. Kini Memiliki 32.5% Saham Kejap Food Dalam Industri Makanan Segera Malaysia.

March 23rd, 2022 | by Syamirul
Kini Trending

Syarikat pengeluar makanan segara terkemuka, Kawan Food Bhd, kini telah mengambil alih 32.5% pegangan saham dalam syarikat pemula muda Malaysia Kejap Food.

Langkah ini diambil bagi menyokong syarikat pemula muda Malaysia Kejap Food, dalam rancangan pengembangan seluruh negara dan membangunkan satu lagi pakatan strategik segmen F&B.

Seperti yang sedia maklum, Kawan Food Berhad, merupakan pengeksport utama Malaysia dan pengilang terbesar yang mengkhususkan dalam makanan istimewa etnik dalam industri makanan sejuk beku.

Bermula sejak tahun 1960-an, Kawan Food kini mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam penciptaan dan pengedaran produk makanan sejuk beku.  Antara produk yang paling mendapat permintaan tinggi ialah, roti paratha, chapatti, pastri lumpia dan produk makanan Sedia-Untuk-Dimakan (RTE) mereka. Hebat kan!

Kejayaan Kawan Food telah terbukti apabila, mereka telah pun berjaya memasarkan produk mereka ke 37 buah negara di seluruh dunia dan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Jom kita tengok apa istimewanya Kawan Food ni!

Kawan Food sentiasa mencari peluang untuk berkembang.

Bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan global, Kawan Food telah beroperasi di fasiliti pembuatan tercanggih yang terletak di Pulau Indah, Malaysia.

Ianya dilengkapi dengan teknologi canggih seperti Automated Storage Retrieval System (ASRS) dan kemudahan bumbung fotovoltaik yang luas untuk menerima Industri 4.0 dan kelestarian alam sekitar.

Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa berkembang, Kawan Food sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan kategori pilihannya, meluaskan saluran pengedarnya dan mempelbagaikan usaha perniagaannya sekaligus menjadikan Kejap Food sebagai sebuah syarikat pemula F&B pilihan mereka.

Kejap Food berjaya membuka cawangan pertamanya di tengah-tengah penularan wabak Covid-19!

Pada Oktober 2020, Kejap Food telah membuka cawangan pertamanya di Caltex Setiawangsa, di tengah-tengah penularan wabak Covid-19. Walau bagaimanapun, mereka telah berjaya mengumpul dana melalui platform crowdfunding ekuiti – Mystartr, dan membuka cawangan kedua mereka di Lebuhraya Persekutuan Petron Batu 3, Shah Alam dalam tempoh hanya setahun.

Apa yang menarik mengenai Kejap Food ialah, mereka menawarkan kiosk pandu lalu yang pertama menyajikan pelbagai jenis hidangan tempatan dan makanan ruji seperti, nasi lemak, roti bakar, karipap, keropok lekor, sate, dan semestinya minuman kegilaan ramai iaitu, kopi dan teh tarik serta banyak lagi.

Kejap Food mempunyai hidangan khas buatan mereka iaitu, “Sambal Pedas” yang dilengkapi dengan ayam goreng aromatik yang dihidangkan sama ada dengan nasi wangi atau kebab bungkus.

Bukan itu sahaja, untuk pencuci mulut pula mereka menawarkan “Roti Aiskrim” dan bagi menambah kelainan pada minuman tempatan terdapat juga menu seperti teh tarik float dan kopi float.

Kejap Food juga bersedia untuk mengembangkan operasinya kepada 5 cawangan di sekitar Lembah Klang tahun ini.

Ia merangkumi empat kedai pandu lalu, satu dapur pusat dan satu kedai makan di dalam konsep serba baharu. Mereka juga sedang mengusahakan rancangan pengembangannya ke negeri lain pada tahun 2023.

Sementara itu, sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat pemula, Kawan Food memperoleh 32.50% pegangan ekuiti dalam Kejap Food.

SKIP THIS AD ×