berita

Lelaki Degil Pakai Gelang Pink Masuk Farmasi, 4 Pekerja Kena Kuarantin, Premis Dikompaun

July 19th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Pihak polis daerah Subang Jaya sedang mengesan tiga individu yang didapati memakai gelang merah jambu kelihatan masuk ke sebuah farmasi di Puchong Perdana untuk membeli ubat-ubatan.

Artikel berkaitan: Dituduh ‘Langgar’ Kuarantin Lepas Gambar Pakai Gelang Pink Di Stesen Minyak Tersebar, Ini Cerita Sebenar

Artikel berkaitan: Polis Saman Pemandu Lori Bawa Pekerja Kilang Positif Covid-19

Pakai gelang pink masuk beli ubat

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Subang Jaya iaitu ACP Abd Khalid Othman berkata tiga individu termasuk seorang wanita yang memakai gelang merah jambu ini telah ke farmasi pada hari Khamis jam 11.20 pagi. Difahamkan, salah seorang daripada mereka telah masuk ke farmasi berkenaan untuk membeli ubat manakala dua individu lagi menunggu di luar.

Seorang lelaki telah masuk ke dalam farmasi tanpa imbasan aplikasi MySejahtera dan memakai gelang merah jambu untuk membeli ubat, manakala seorang lagi lelaki dan wanita menunggu di luar premis. Lelaki yang berada di dalam farmasi tersebut beredar keluar tanpa membuat sebarang pembelian setelah dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi.

Susulan itu, empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing sebelum diarahkan membuat ujian calitan awal.

Premis dikenakan kompaun

Pihak polis masih lagi mengesan ketiga-tiga individu berkenaan yang didakwa melanggar arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Polis turut mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana gagal memastikan pelanggan risiko rendah dibenarkan masuk dalam premis.

Orang ramai yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah atau yang memakai gelang merah jambu dinasihatkan supaya tidak keluar dari kediaman untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: Astro Awani

SKIP THIS AD ×