berita

Media Prima Kini Nombor 1, Atasi Facebook & Google Sebagai Kandungan Popular Mudah Alih

January 31st, 2019 | by Wan
Kini Trending

Media Prima Berhad, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, kini mengatasi Google dan Facebook sebagai pilihan paling popular untuk kandungan mudah alih (mobile content) dalam kalangan pengguna Malaysia.

Menurut data terkini daripada Comscore, (sebuah syarikat pengukuran dan analitik media yang berpangkalan di Amerika Syarikat) Mobile Metrix® Top 100 Properties, Media Prima berada di kedudukan teratas dalam jumlah audiens bagi bulan Disember 2018 di Malaysia, dengan sejumlah 13.60 juta pengunjung unik, suatu peningkatan sebanyak 62% dari bulan Disember 2017. Ini diikuti oleh Google Sites dengan jumlah 12.95 juta pengunjung unik, serta Facebook dengan 12.92 juta pengunjung unik.

Kejayaan usaha transformasi & strategi

Ini jelas menunjukkan kejayaan usaha transformasi Kumpulan untuk menjadi sebuah syarikat kandungan digital dan perdagangan yang utama. Peningkatan pesat dalam capaian digital disumbang oleh pelaksanaan strategi-strategi digital utama di seluruh kumpulan, yang membawa manfaat kepada anak-anak syarikat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (“NSTP”), REV Asia Holdings (“REV Asia”), dan Ripple dalam mengambil kesempatan terhadap peningkatan permintaan kandungan berita digital.

NSTP telah menjadi sumber berita utama bagi rakyat Malaysia di sesawang mudah alih (mobile web) dan aplikasi (app). Menurut Commscore, BH dan Harian Metro masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua bagi jumlah pengunjung unik bulanan portal berita Malaysia. BH dan Harian Metro masing-masing merekodkan jumlah pengunjung unik sebanyak 4.78 juta dan 4.39 juta.

Jenama popular REV Asia

Portfolio REV Asia yang meluas dengan jenama-jenama popularnya seperti – SAYS, OhBulan!, Rojaklah, Viral Cham, 8coin, Sirap Limau, MyResipi, Kongsi Resipi, dan JUICE – kini turut memiliki The Vocket – portal berita sosial berbahasa melayu yang popular, Mashable Southeast Asia – jenama berita digital terbaru yang terkenal, dan TanTanNews – media portal berita dan kandungan terkenal berbahasa Cina.

Evolusi Ripple

Evolusi Rangkaian Radio Media Prima kepada Ripple juga telah membuka peluang untuk berhubung dengan audiens melalui pengenalan tujuh aset digital baharu – Dhia, Donna, Lunaria, TheLaki, Likely, Chapters, dan Wakeke. Sasarannya adalah untuk berhubung melalui sinergi media digital, radio penyiaran dan dagang. Sehingga kini, Ripple mempunyai komuniti digital yang besar termasuk 10 juta pengikut sosial media, 3.2 juta pendengar digital secara purata, dan 283 juta jumlah tontonan digital. Datuk Kamal Khalid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima

Sebagai kumpulan media terbesar di Malaysia, kelebihan utama kami adalah kebolehan untuk menarik jumlah audiens yang ramai seperti mana kami lakukan di kalangan pengguna peralatan telefon pintar dan peralatan komunikasi mudah alih (mobile devices). Ini merupakan kali pertama syarikat media tempatan berjaya mengatasi syarikat-syarikat media terbesar global di Malaysia justeru menunjukkan strategi digital yang dilaksanakan telah membawa hasil.

Ia juga memberi peluang untuk Media Prima menarik pengiklan yang ingin berhubung kepada audiens yang ramai secara digital melalui peralatan komunikasi mudah alih. Seterusnya, data yang diperolehi ini juga mengesahkah bagaimana telefon pintar semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, dan Kumpulan akan terus melabur dalam mengembangkan pertumbuhan segmen  kandungan digital ini.

SKIP THIS AD ×