berita

Kugiran Masdo Syukur, ‘Pujaanku’ Ungguli Carta Spotify Hampir Setiap Minggu – ‘Kami Pun Tak Tahu Mana Magisnya Sampai Viral’

October 29th, 2023 | by Alia
Kini Trending

masdo

Fenomena lagu Pujaanku yang dinyanyikan oleh Kugiran Masdo bersama penyanyi, Aisyah Aziz ketika ini ‘trending’ dan menjadi antara halwa telinga kegemaran para pendengar selain diterima baik oleh segenap masyarakat.

Artikel Berkaitan: Ini 7 Video Parodi ‘Dinda’ Yang Menarik.. No. 7 Paling Kreatif!

No 1 di Spotify

masdo

Ketika ditemui OhBulan! Kugiran Masdo meluahkan rasa syukur apabila lagu Pujaanku berjaya mendapat tempat di hati peminat sehingga mengungguli carta penstriman muzik hampir setiap minggu.

Alhamdulillah setakat ini lagu itu mendapat sambutan luar biasa. Nombor satu lagu melayu yang distrim paling banyak di Spotify. Setiap hari boleh dikatakan sebanyak 40,000 ke atas lagu ini distrim.

Vokalis kumpulan tersebut iaitu Ali Sariah berkata mereka sama sekali tidak pernah meletakkan sebarang perancangan ketika menghasilkan sesebuah lagu malah lebih mengutamakan elemen rasa.

Nak kata ramuan itu tak ada, tetapi ia lebih kepada soal rasa. Sebagai penulis lirik dan komposer, bila hasilkan lagu mereka sendiri akan ada ‘rasa’ itu terlebih dahulu sebelum orang lain.

Lagu-lagu kami banyak tentang kehidupan mungkin itu yang buatkan orang rasa tersentuh sehingga menyebabkan ia bertahan lama dan menepati kriteria ‘evergreen’.

Lagu Dinda saya pun tak tahu di mana magisnya sampai viral berulang kali di Malaysia, Indonesia, Singapura..macam satu fasa yang tidak habis. Berdasarkan data, Dinda antara paling banyak distrim seluruh dunia.

Kugiran Masdo berkata demikian di sidang media kolaborasi mereka bersama jenama skuter terkenal, Royal Alloy yang berlangsung di Glasshouse, Seputeh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bakal ke Jepun bersama SOG

masdo

Sementara itu, Kugiran Masdo juga memaklumkan bahawa mereka akan terbang ke negara matahari terbit pada bulan hadapan untuk mengadakan beberapa siri persembahan bersama band Sekumpulan Orang Gila (SOG).

November ini insyaAllah akan ke Jepun. Kami ada tiga persembahan di sana iaitu selama seminggu. Jepun adalah satu impian kami, Alhamdulillah kami diberi peluang ke sana.

Kami akan buat ‘tour’ untuk luaskan muzik dan perkenalkan Masdo di sana. Dulu ketika 2019, kami ke Indonesia untuk buat benda yang sama.

Orang mungkin boleh dengar Spotify tapi kami nak turun padang dan buat persembahan di hadapan rakyat Jepun sendiri.

Untuk info, kerjasama antara Kugiran Masdo bersama Royal Alloy tersebut bakal mengeluarkan model skuter edisi terhad yang diberi nama ‘Dinda’.

Sebanyak 50 unit skuter akan dikeluarkan bagi fasa pertama dan paling menarik, pembeli terawal berpeluang untuk berada di dalam muzik video lagu terbaharu kumpulan Masdo.

SKIP THIS AD ×