Pelakon Putra Amaris telah memulakan gerak kerja membantu 2000 golongan yang memerlukan menerusi program Infaq Ramadan dengan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak).
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dah Lama Simpan Niat’ – Putra Amaris Bina Rumah Untuk Asnaf, Dijangka Siap Dalam Masa Sebulan
Luar biasa tajaan
Ketika ditemui OhBulan!, Amaris melahirkan rasa syukur kerana projek meringankan beban golongan kurang bernasib baik mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.
Menurut aktor berumur 37 tahun ini, dia sudah menerima tajaan untuk golongan asnaf yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, Kuala Lumpur, pada 31 Mac lalu.
Dengan izin Allah, satu lori setengah penuh barang dan satu van daripada Adabi untuk beri kepada asnaf di sini. Memang luar biasa tajaan kami dapat dan saya memang tidak terkata-kata.
Bukan saja asnaf, tapi ada 30 sekolah tahfiz menunggu kedatangan kami untuk beli baju raya mereka. Saya ragu-ragu juga kalau kami dapat tunaikan atau tidak, tapi saya yakin dengan aturan Allah.
Selain itu, membantu perjuangan mereka untuk bangkit dari kejatuhan dan kesusahan yang menimpa.
Amaris ditemui ketika Majlis Pelancaran Infaq Ramadan dan Dapur Pasak yang turut dihadiri penyanyi terkenal, Mas Idayu.
Terus menghebahkan
Berharap tajaan akan terus berterusan, pelakon filem Ratu Kala Jengking mensasarkan bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), gelandangan, anak tahfiz dan juga golongan B40.
Saya menyeru agar ramai pihak terus hebahkan projek ini kerana kami sasarkan untuk membantu anak-anak yatim, tahfiz, asnaf setiap hari sepanjang Ramadan ini.
Kami masih perlukan kenderaan lebih banyak untuk membawa mereka menikmati pelbagai kegembiraan. Semoga bantuan ini akan membantu ramai lagi yang terkesan di luar sana.
Projek Infaq Ramadan hasil kerjasama Dapur Pasak turut mendapat sokongan penuh oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Di samping itu, projek Penuhkan Peti Ais menerusi Program #samasamakenyang juga akan berlangsung dalam tempoh 30 hari bulan Ramadan.
Kami sendiri akan pergi terus ke rumah-rumah asnaf dan golongan yang memerlukan. Kami akan menyusun dan memenuhkan peti ais mereka dengan ayam, ikan, sayur-sayuran , buah-buahan dan banyak lagi.
Selain itu, barangan keperluan asas juga kami akan beri sekali seperti beras, telur dan sebagainya. Inilah barang keperluan yang sentiasa ada sebagai bekalan di bulan Ramadan ini.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur, 8604587212.