Hanya kerana video nyanyiannya tular, nama Ayish Malkan akhirnya dikenali oleh sebahagian besar peminat.
Artikel Berkaitan: #AJL38: Ziana Zain Syukur Pada Usia 56 Tahun Masih Banyak Tawaran – ‘Peluang Takkan Datang Selalu’
Artikel Berkaitan: Tidak Terkalahkan! Ziana Zain Diva Terulung Di Hati Rakyat Malaysia, Masih Berbisa Di Usia 56 Tahun
Respons luar biasa
Itu rezeki terpijak yang dilalui olehnya kurang dua tahun yang lalu saat namanya dikenali selepas menyanyikan lagu Ziana Zain sehingga tular di platform TikTok.
Bagi Ayish, kenangan tersebut tidak mungkin terpadam dalam ingatan memandangkan peminat mula mengenalinya setelah video berkenaan mendapat respons luar biasa daripada peminat.
Sebetulnya saya hanya hadir ke sebuah acara jelajah sebuah stesen radio. Mereka minta pengunjung untuk naik ke pentas menyanyikan lagu 90-an. Disebabkan jumlah ada peserta yang lupa lirik dan sebagainya, mereka cari ganti.
Tiba-tiba sahaja kawan-kawan menjerit nama Ayish dan saya diminta naik ke atas pentas. Memang saya ‘tapau’ lagu Setiaku Di Sini nyanyian asal Ziana Zain. Saya memang minat sangat dengan penyanyi tersebut dan tak sangka pula dapat sambutan baik.
Menariknya, ada dalam kalangan peminat merakam video dan akhirnya tular di TikTok. Paling tak disangka, video yang mendapat jutaan tontonan sehingga dia diundang oleh beberapa program hiburan stesen TV termasuklah menjadi tetamu jemputan untuk program Meletop.
Menganggap itu merupakan rezeki buat orang biasa sepertinya, Ayish tidak dapat melupakan kenangan apabila mendapat tepukan gemuruh daripada peminat saat mula menyanyi dalam acara berkenaan.
Baru nyanyi sebaris tapi peminat dah bersorak dan beri tepukan. Sampai habis menyanyi pun mereka masih menjerit keriangan bila mendengarkan suara saya. Itu memang kenangan paling indah dalam hidup ini.
Saya gembira apabila membaca komen daripada peminat. Mereka memberikan kata-kata positif dan suka dengan nyanyian. Itu sudah cukup menambahkan semangat untuk bergelar penyanyi.
Single terbaharu
Dalam perkembangan lain, Ayish baru sahaja tampil dengan single baharu berjudul Cinta Di Cintai yang dilancarkan pada 12 Julai yang lalu.
Menggunakan sepenuhnya khidmat Man Senoi sebagai penerbit naskhah ini, ia adalah gabungan idea NurRasa dan Sheikh Qalam yang bertindak selaku penulis lirik dan komposer yang diterbitkan oleh Fillea Music X Sony Music Malaysia.
Menurutnya, dia terbuka hati menerima tawaran menyanyikan lagu Cinta Di Cintai kerana lagu balada ini mengandungi bait-bait lirik yang puitis dan menyentuh sanubarinya selain melodi indah yang susun dengan baik.
Saya gembira apabila dapat bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman luas dalam bidang muzik. Banyak ilmu baharu yang diperoleh saat mula masuk ke studio rakaman. Setiap patah perkataan mempunyai maksud dan perlu disampaikan dengan cermat.
Untuk video muzik pula telah dilaksanakan di Jakarta, Indonesia. Ini juga adalah pengalaman pertama saya dan dapat bekerja dengan kru berpengalaman. Sudah tentu semuanya dilakukannya sebaik mungkin untuk memberi kepuasan kepada pendengar.
Dalam pada itu, Ayish juga sangat mengagumi penyanyi berpengalaman seperti Ziana Zain dan Misha Omar yang membuatkan dia sentiasa ternanti-nantikan buah tangan terbaru daripada mereka.
Saya mahu menjadi seperti mereka satu hari nanti. Semoga Cinta Di Cintai juga akan mampu membawa nama saya ke persada muzik tanah air seterusnya menjadi seperti mereka.
Untuk info, Cinta Di Cintai telah pun dilancarkan disemua platform digital manakala muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube Sony Music VEVO.