Pelakon Susan Lankester menjayakan watak dalam filem terbaharunya, Rain Town dengan menjadikan mendiang ibu sebagai inspirasi.
Artikel Berkaitan: Filem ‘Rain Town’ Terpilih Untuk Tayangan Perdana Dunia Di 10th Silk Road International Film Festival
Pengalaman bawa watak seorang ibu
Ketika ditemui OhBulan! Susan mengakui tidak mudah untuk memegang watak sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak namun dengan mengambil semangat dan personaliti mendiang ibunya, watak tersebut dapat dihidupkan dalam filem itu.
Saya tak pernah berlakon watak ibu yang macam ini. Lima tahun lalu saya kehilangan ibu saya, jadi watak Aileen adalah satu penghormatan kepada ibu saya. Banyak babak yang mencabar saya gunakan personalitinya masuk ke dalam watak ini.
Aileen adalah seorang yang sangat kompleks, tetapi dia sangat menyanyangi keluarganya. Selain daripada itu, dia adalah seorang yang sanggup berkorban. Jadi, bila saya gunakan ibu saya sebagai rujukan, itu yang paling senang.
Dalam pada itu, aktres berusia 61 tahun ini turut berdepan dengan cabaran untuk mengawal emosi ketika menjayakan watak tersebut.
Saya sangat sensitif jadi kadang-kadang bila berlakon saya tak boleh terlalu ikut perangai sendiri dan kena ikut watak.
Saya cuba kawal kerana saya takut saya ‘over do’ untuk karakter ini.
Susan berkata demikian di sidang media filem Rain Town yang berlangsung di Pavillion Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Sementara itu, pelakon berdarah kacukan Inggeris dan Cina ini turut teruja mendapat peluang melakonkan watak dalam bahasa Kantonis meskipun tidak fasih menggunakan bahasa tersebut.
Satu pengalaman yang sangat seronok apabila dapat menggunakan bahasa Kantonis tetapi saya berasa sedikit tertekan sebab perlu ikut skrip untuk elak tersalah sebutan. Pengarah juga ada seorang pembantu yang turut menolong kami dari segi bahasa.
Saya sangat bangga apabila filem ini banyak menggunakan bahasa Kantonis. Jadi Rain Town akan hidupkan balik bahasa Kantonis.
Rain Town diarahkan oleh Tunku Mona Riza berkisarkan tentang hubungan kekeluargaan yang berdepan dengan konflik antara impian seorang bapa dan keinginan anak-anak.
Filem ini bakal ditanyangkan di pawagam bermula 8 Februari 2024 yang turut dibintangi oleh Chew Kin Wah, Wilson Lee, Pauline Tan dan Fabian Loo.