Umum mengetahui, pasangan pelakon Mimi Lana dan Syafiq Kyle telah pun membatalkan perkahwinan mereka seminggu sebelum majlis tersebut. Bagaimanapun sehingga ke hari ini mereka mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara berkenaan.
Terbaharu, aktres itu dilihat memuat naik hantaran yang menggambarkan perasaan kecewa setelah putus cinta.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syafiq Kyle Enggan Ulas Lanjut, Sudah Selesai Cara Baik Dengan Mimi Lana
Artikel Berkaitan: Syafiq Kyle Bagi Mimi Lana ‘Mini Love’, Bukti Hubungan Masih Dalam Keadaan Baik?
Mimi terluka?
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Mimi atau nama sebenarnya Rozaiana Zainal Abidin menulis kapsyen pada hantaran tersebut seakan ingin meluahkan rasa sakit yang dipendam.
Putus cinta itu rasa sakitnya seakan waktu berhenti. Hidup di antara ingatan yang lumpuh dan rindu yang membunuh.
Di sebalik senyuman yang dibalas dalam setiap situasi dan pertanyaan itu memiliki luka di balik kamar yang sunyi. Untuk kesekian kali, magis cinta itu belum dapat dirasa tetapi kasih dan sayang itu sentiasa ada. Mungkin kerana yang maha cinta itu tidak ada, yang ada cuma maha pengasih dan penyayang.
Penderitaan manusia juga mulai ketika manusia merasa memiliki. Sakit itu datangnya dari rasa kita pemilik segalanya.
Terus terusan refleksi diri dari terus hanyut tanpa arah. Semoga hati hati yang terluka tidak pernah berhenti berkasih sayang walaupun cintanya telah pergi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengaitkan luahan hati Mimi dengan hubungannya bersama Syafiq walaupun aktres itu tidak menyebut nama mana-mana individu.
Dalam pada itu, rakan-rakan artis juga dilihat turut memberi kata-kata semangat buat Mimi agar tabah menghadapi setiap ujian yang melanda.
Terdahulu, pada 11 Ogos lalu, majlis pernikahan yang dijadualkan pada 18 Ogos 2023 telah pun dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Untuk rekod, Syafiq dan Mimi pernah putus cinta selepas lima tahun menjalinkan hubungan namun hati mereka kembali bertaut setelah berkongsi foto majlis pertunangan di media sosial masing-masing sekitar Januari lalu.
Sumber: Instagram Mimi Lana