Kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402 di dasar kepulauan Bali telah menggemparkan dunia. Sebanyak empat buah negara dilaporkan menyertai misi bantuan pencarian kapal tersebut termasuklah Malaysia, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat dengan 24 kapal perang. Akhirnya, berjaya menemui enam serpihan yang dipercayai datang daripada kapal KRI Nanggala-402 itu.
Artikel Berkaitan: Setelah 72 Jam Misi Pencarian, Pasukan Tentera Temui 6 Serpihan Kapal KRI Nanggala-402
Artikel berkaitan: Hilang Sejak 2 Hari Lepas, Bekalan Oksigen Kapal Selam Indonesia Hanya Mampu Bertahan Sehingga Esok Pagi
Tahukah anda, sebelum misteri kehilangan kapal selam KRI Nanggala-402 ini, terdapat tiga buah kapal selam yang berdepan dengan insiden misteri seakan begitu. Kapal selam dimaksudkan adalah San Juan Argentina, K-152 Nerpa dan Kursk, Rusia.
K-152 Nerpa, Rusia
Kredit foto: Google
K-152 Nerpa merupakan sebuah kapal selam yang dibina oleh negara Rusia sejak 1991. Disebabkan kekurangan dana, kapal K-152 Nerpa ini terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2008.
K-152 Nerpa berdepan dengan insiden misteri sewaktu menjalani ujian di Laut Jepun sebulan selepas tarikh pelancaran iaitu pada 8 November 2008. Kapal tersebut telah menjalani ujian di bawah permukaan air di Lautan Pasifik. Sejumlah 208 termasuk 81 orang tentera dan 127 orang awam yang berada dalam kapal tersebut ketika itu. Susulan dari insiden tersebut, dilaporkan 21 orang mati lemas dan 21 tercedera.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku disebabkan sistem pemadaman kebakaran diaktifkan tanpa sengaja sehingga menyebabkan dua bahagian hadapan tertutup dan gas jenis Freon-22 (klorodifluorometana) dibebaskan ke dalam kapal. Malah, terdapat segelintir krew menceritakan mereka tidak bersedia dan tidak sempat kerana siren berbunyi selepas gas tersebut dilepaskan. Ada juga di antara mangsa dilaporkan tidak dapat memakai peralatan bantuan penafasan sebelum lemas.
Susulan daripada insiden tersebut, kapal Admiral Tributs dan kapal penyelamat Sayany dihantar segera dari Vladivostok untuk memberi bantuan kecemasan. Mangsa yang mengalami kecederaan dipindahkan segera ke kapal Admiral Tributs dan dihantar ke hospital tentera untuk mendapatkan rawatan.
Kursk, Rusia
Kredit foto: Google
Memetik perkongsian dari Popular Mechanics, kapal selam Kursk telah berdepan dengan insiden ‘ngeri’ pada 12 Ogos 2000 di Laut Barents semasa latihan tentera laut sehingga menyebabkan 118 orang anak kapal maut. Kebanyakan anak kapal Kursk maut serta-merta namun, ada sebahagiannya selamat untuk beberapa hari sebelum sesak nafas dan meninggal dunia.
Pada awalnya, difahamkan beberapa buah kapal yang berhampiran Kursk telah merasai gegaran pertama dalam lautan dan gegaran kedua terhasil lebih besar sedikit berbanding gegaran kedua. Namun, tentera Rusia tidak menyedari kemalangan tersebut dan tidak memulakan pencarian sehingga lebih enam jam berikutnya. Ini adalah disebabkan pelampung kecemasan kapal selam sebelum ini telah dilumpuhkan pada misi sebelumnya, jadi memerlukan pasukan untuk mencari Krusk lebih daripada 16 jam.
Sepanjang empat hari, Tentera Laut Rusia gagal dalam cubaan memasang empat driving bells ke pintu keluar kapal selam. Malah, selepas tujuh hari insiden tersebut, penyelam dari Britain dan Norway berjaya masuk ke pintu Krusk dan tidak menemui seorang pun mangsa yang terselamat.
Akhirnya, tragedi malang ini dijadikan inspirasi menerusi sebuah filem Kursk pada 2018 arahan Thomas Vinterberg.
San Juan, Argentina
Kredit foto: Google
Sementara itu, pada 2017 sebuah lagi kapal selam milik tentera Argentina hilang di perairan Atlantik Selatan bersama 44 kru. Bangkai kapal itu ditemukan setahun kemudian iaitu pada 2018 dan wakil rasmi negara mengesahkan aset berkenaan meletup di dasar laut.
Berdasarkan sejarah, kapal San Juan telah dibina di Jerman dan mula berkhidmat pada 19 November 1985. Malangnya, pada 15 November 2017, San Juan dipercayai telah hilang di Lautan Atlantik, luar Argentina. Kapal berkenaan dipercayai mengalami satu kegagalan elektrikal. Satu letupan telah dikesan berdekatan dengan lokasi terakhir kapal selam San Juan dan pada 30 November 2017 operasi cari dan menyelamat telah dihentikan di Argentina.
Namun, pada 16 November 2018, setelah setahun kehilangan kapal ini akhirnya Tentera Laut Argentina melaporkan berjaya menemui San Juan. Bangkai kapal selam tersebut ditemui oleh Seabed Constructor dengan menggunakan sebuah kenderaan selam jarak jauh. Bangkai kapal selam itu dijumpai terletak kira-kira 460 kilometer di arah tenggara Comodoro Rivadavia pada kedalaman 907 meter.
Sumber: BH Online, Tekno.tempo, Kumparan, Popular Mechanics