Selebriti terkenal yang juga merupakan pendakwah, Shamsul Ghau Ghau meluahkan rasa terkilannya kerana tidak berkesempatan untuk menghadirkan diri ke majlis pengembumian ahli kumpulan Senario yang telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat lalu iaitu Hamdan.
Artikel Berkaitan: Hamdan Senario Meninggal Dunia
‘Saya tak boleh move on’
Ketika ditemui OhBulan!, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin berkata kekangan masa disebabkan oleh komitmen kerjanya yang agak ketat menyukarkan dirinya untuk menghadirkan diri memberikan penghormatan terakhir buat sahabat baiknya itu.
Saya terkilan sangat sebab saya ada urusan kerja. Pada awalnya saya rancang lepas selesai sesi rehearsal program Pentas Marhaban saya nak pergi ke Ipoh tapi kalau saya pergi pun hanya dapat tengok kubur sahaja.
Tambahan pula perjalanan dari Kuala Lumpur nak ke sana hampir dua jam, lepas itu memikirkan saya perlu ada sesi rakaman pula pada awal pagi keesokan harinya jadi saya tak dapat hadirkan diri.
Tapi saya ada maklumkan pada isteri arwah iaitu Malini dan saya cakap, ‘Minta maaf saya tak dapat datang sebab saya ada urusan kerja yang tak dapat dielakkan’.
Meskipun saya tak dapat hadirkan diri namun saya tetap mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Shamsul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media Pentas Marhaban akhir yang diadakan di TV Alhijrah, pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, pendakwah berusia 55 tahun itu mengakui dirinya tidak dapat ‘move on’ kerana agak terkejut dengan pemergian Hamdan.
Saya sebenarnya macam tak boleh move on sebab saya sangat terkejut bila dapat tahu mengenai pemergian arwah.
Kita selalu dengar orang cakap, ‘Semalam baru je tengok dia buat siaran langsung di media sosial, tiba-tiba dah tak ada’.
Saya tak boleh fikir sebenarnya tapi saya cuba sibukkan diri dengan bekerja tapi nanti bila balik saya akan ingat kembali.
Ketika ditanya mengenai penyakit yang dihidapi arwah Hamdan, pelantun lagu ‘Lagu Hits Buatmu’ ini memaklumkan dia sama sekali tidak mengetahui mengenai penyakit tersebut.
Menurut Shamsul, Hamdan juga hanya mengetahui mengenai penyakit yang dihidapinya itu ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Sejujurnya saya tak tahu pun dia sakit bahkan arwah (Hamdan) sendiri pun tak tahu.
Pada awalnya dia sakit perut saja, tapi bila pergi hospital terus dapat tahu ada penyakit buah pinggang tahap tiga. Saya pasti anak-anak arwah juga terkejut dengan perkara ini sebab kami memang tak tahu yang dia sakit.
Terdahulu, Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 12.50 tengahari selepas beberapa hari ditidurkan bagi mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Menurut anak kepada Hamdan iaitu Muhamad Syazreen Haqem, bapanya itu mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan oksigen selepas mengalami demam cirit-birit sejak Ahad.
Hamdan difahamkan berada di Johor Bahru kerana terlibat dengan program bersama kumpulan Senario iaitu Wonderful Night with Senariounion.