Penyanyi terkenal, Shila Amzah mendedahkan dia dan suami, Ubai memilih untuk menjalani kehidupan sederhana bersama keluarga kecil mereka.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Shila Amzah Kongsi ‘Bungalow Tour’ – ‘Saya Datang Rumah Ni Selalu Rasa Sedih’
Tidak berlebihan
Memetik laporan Harian Metro, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah memberitahu dia sudah membuat perancangan kewangan bersama Ubai untuk hari tua mereka.
Menurut Shila, dia mahu hidup tenang dan tidak mahu pening kepala memikirkan tentang kewangan.
Saya dan suami mahu menjalani hidup yang sederhana dan tidak berlebihan.
Saya percaya, pada zaman sekarang, rumah bukanlah lagi satu aset sebaliknya liabiliti.
Kami juga mahu menjalani hidup yang sederhana dan memiliki ‘financial freedom’ (kebebasan kewangan) dan tak nak pening kepala.
Penyanyi yang berusia 34 tahun itu memberitahu dia lebih selesa untuk tinggal di rumah yang lebih kecil asalkan bersama orang yang disayanginya.
Tambahnya lagi, dia dan Ubai mahu mendidik diri untuk hidup seperti orang biasa tanpa lebihan kemewahan.
Rumah besar (banglo) nampak seperti benda yang berlebihan.
Duduk di rumah teres yang lebih kecil ini dengan seorang pembantu pun sudah cukup.
Saya dan Ubai juga mahu mendidik diri kami jika Tuhan kurniakan kami rezeki yang lebih, Insya-Allah, kami tak nak cuba naikkan taraf lagi dan mahu relaks seperti orang biasa.
Macam dulu baju ketika jadi artis pun berlambak dan sekarang bila sudah ada ‘stylist’ (penata gaya), baju saya tak simpan sendiri dan saya boleh hidup macam minimalis sekarang.
‘Mahu move on’
Ketika ditanya mengenai banglo miliknya, Shila mendedahkan bahawa sudah mempunyai beberapa orang pembeli yang berminat untuk membeli namun dia masih belum membuat keputusan untuk menjualnya kepada siapa.
Malah, pelantun lagu ‘Patah Seribu’ itu juga sudah tidak mahu memikirkan tentang rumah tersebut dan mahu hidup dengan tenang.
Sudah ada beberapa pembeli yang berminat untuk membeli banglo berkenaan tetapi kami masih belum putuskan (pilih pembeli) lagi.
Saya sudah sampai satu tahap tak kisah berapa harga yang dapat (nak jual) kerana mahu ‘move on’ dan hidup yang tenang.
Terdahulu, kemelut antara adik beradik Shila bermula apabila Syada mendakwa terdapat beberapa orang individu yang tidak dikenali datang melihat rumah meskipun tiada sebarang notis dikeluarkan untuk menjual kediaman berkenaan.
Tidak berdiam diri, Shila kemudian mengaku bahawa dia mahu menjual rumah tersebut kerana berhasrat untuk membeli sebuah kediaman baru.
Sumber: Harian Metro