‘Besties, Pape Roger‘ merupakan satu kempen yang dilancarkan oleh OhBulan! sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada tanggal 10 Oktober setiap tahun.
Besties, Pape Roger juga berfungsi sebagai satu platform memberikan pendidikan tentang penyakit mental dan mendalami kisah pejuang pesakit mental yang selama ini dipendam di dalam hati.
Artikel Berkaitan: ‘Paling Terkesan Sebab Semua Benda Jadi Depan Mata Dia’ – Anak Perempuan Shuhada Terima Rawatan Psikiatri Kanak-Kanak?
Artikel Berkaitan: Nurul Shuhada Syukur Beban Diangkat Allah, Tak Sorok Berita Perceraian Dengan Anak
Kepercayaan ‘dipijak’ pasangan
Berikutan daripada kempen Besties, Pape Roger, OhBulan! menerusi program Show Dalam Bilik telah menemu bual bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Shuhada Shukri atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri untuk berkongsi kisah dan pengalamannya sendiri.
OhBulan!: Adakah anak-anak tahu apa yang berlaku antara Shuhada dan Hafidz?
Shuhada Shukri: Ya, memang anak-anak tahu. Saya tak nak sorok kata ayah dia bekerja jauh, saya tak nak menipu. Sebab dari situ, kita dah didik mereka cakap bohong.
Ujar Shuhada, meskipun perkara itu perit untuk ditelan tetapi dia mahu anak-anaknya mengetahui perkara sebenar supaya mereka boleh menerima kenyataan tentang hubungannya dengan Hafidz.
OhBulan!: Shuhada pernah mengalami keguguran tetapi ada pihak tertentu mendakwa Shuhada hanya menggunakan alasan tersebut sehingga timbul isu anak.
Shuhada Shukri: Sebenarnya pihak sana mungkin tidak tahu tetapi masa saya mengandung, dia (Hafidz Roshdi) tahu. Sebab masa saya tahu pun, usia kandungan saya sudah mencecah tiga bulan lebih. Sebenarnya saya anggap, itu satu pengalaman dan Allah SWT seakan memberitahu bahawa Dia lah Maha Pemberi dan Dia juga Maha Pengambil. Mungkin Allah SWT nak tegur, apa sahaja di atas dunia ini hanyalah pinjaman. Allah SWT Maha Mengetahui dan saya serahkan semua kepada-Nya.
OhBulan!: Apakah respon pihak sebelah sana berhubung keguguran yang Shuhada pernah alami?
Shuhada Shukri: Respon dia menyedihkan. Tak sangka terima panggilan daripada pihak polis mengatakan dia buat laporan saya buat pengguguran. Saya anggap ini ujian Allah SWT dalam usaha saya menguatkan diri dan mengenal kehidupan. Kita tak boleh sayang sesuatu atau seseorang lebih daripada kita sayang Allah SWT. Kadang-kadang, masalah tekanan mental juga memberi kesan kepada kesihatan dan kandungan seseorang.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafidz Roshdi Alami Bipolar, Terima Rawatan Sejak Tiga Tahun Lalu
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafidz Roshdi Mengaku Tidak Bersalah, Mahkamah Perintah Jalani Pemeriksaan Mental Di Hospital Bahagia
OhBulan!: Pengalaman Shuhada atau nasihat buat para wanita.
Shuhada Shukri: Para wanita di luar sana jangan ulang apa yang saya buat. Kita kena letakkan 10% ragu-ragu pada pasangan, bukan nak timbulkan masalah atau pergaduhan cuma tak nak kita dipergunakan. Jangan terlalu selesa dengan kehidupan kita. Macam saya, bila diuji macam ini, saya seperti hilang arah. Tak tahu nak mulakan dari mana.
Dalam kesempatan itu, Shuhada sempat menitipkan pesan dan nasihat kepada para wanita terutamanya ibu tunggal supaya kuat mengharungi dugaan dalam hidup demi anak-anak.
OhBulan!: Adakah Shuhada ada rasa trauma didekati lelaki?
Shuhada Shukri: Bila saya sayang, saya akan sayang sepenuh hati. Cuma saya susah nak terima seseorang dalam hidup saya. Memang saya trauma, kalau ada lelaki nak mendekati saya atau menjaga saya dan anak-anak, orang itu mesti kena kuat. Sebab akan timbul ‘trust issues’ yang teramat sangat. Sebab saya pernah letakkan kepercayaan sepenuhnya kepada seseorang namun dipecahkan sebegitu sahaja. Saya cakap pada diri saya sendiri dan ambil iktibar kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha ‘kita kejar cinta Allah, nanti Allah bagi yang terbaik’.
OhBulan!: Apa reaksi keluarga sewaktu pertama kali mereka tahu apa yang terjadi pada Shuhada?
Shuhada Shukri: Saya ada lima adik beradik dan seorang abang. Saya memang rapat dengan abang saya. Kami sama-sama dah berkeluarga sendiri. Masa kejadian itu, dia (abang) memang mengamuk dan saya tak pernah tengok dia dalam keadaan macam itu. Dia punya tahap sedih, sampai dia berhentikan kereta, duduk tepi jalan lalu menangis. Dia sedih sebab tak dapat lindungi saya. Kata-kata yang keluar dari mulut dia selepas tahu apa yang saya lalui adalah ‘Abang minta maaf, abang tak boleh nak lindungi Dada (panggilan nama Shuhada). Lepas ini, apa pun terjadi, beritahu abang’.
Ketika disoal responnya terhadap komen negatif netizen, Shuhada berkata dia tidak menyalahkan netizen kerana mereka tidak tahu cerita sebenar yang berlaku antara dirinya dan Hafidz.
OhBulan!: Kata-kata terakhir untuk Shuhada sampaikan pada diri sendiri, anak-anak dan keluarga.
Shuhada Shukri: Dearself you are so brave and so strong. Saya tak sangka boleh berdiri atas diri sendiri sekarang. Kalau saya pandang sembilan bulan lepas, saya tak sangka saya boleh jadi diri saya yang sekarang iaitu Shuhada yang boleh beli apa yang dia nak, kongsi pengalaman dia dengan orang lain. Shuhada tak percaya diri sendiri kini sudah berubah macam ini.
Tahniah dearself. Untuk anak-anak ibu, kita akan lalui kisah kita sama-sama ke syurga Allah SWT. Allah SWT Maha Baik, dia akan tolong kita. Untuk keluarga, kalau tak ada mama abah, tak ada keluarga, saya mati. Terima kasih semua sebab sentiasa ada dengan saya. Untuk netizen pula, saya berterima kasih sebab selalu doakan yang baik-baik dan saya berharap dan berdoa agar Allah SWT memberikan kebahagiaan dan ketenangan hati buat semua orang.
Nak tahu lebih lanjut mengenai masalah mental, kaedah rawatan, perkongsian pesakit mental yang lain?
Korang boleh ke Besties, Paper Roger untuk baca artikel-artikel lain. Korang juga boleh buat luahan hati secara anonymous tau! So guys, pape roger ok?