berita

Simpati Motor Rosak, Lelaki Ini Tumpangkan 2 Orang ‘Tak Dikenali’ Namun Dalam Perjalanan…

May 11th, 2016 | by Wan
Kini Trending

Screen Shot 2016-05-11 at 1.55.06 AM

Bukan mahu berfikiran positif terhadap seseorang namun dalam zaman yang apa jua boleh berlaku ini, niat untuk berbuat baik kadang kala terpaksa dilupakan demi keselamatan diri.

Namun apa yang dilakukan lelaki ini kami respect! Secara kebetulan lelaki ini berhenti di sebuah stesen minyak untuk menambah nilai kad Touch & Go.

Semasa mahu beredar dia terlihat seoorang wanita dan lelaki sedang terbongkok-bongkok melihat motorsikal. Timbul rasa ingin bertanya apa sebenarnya terjadi.

Sedang membelek motorsikal

Suami saya dijemput menghadiri istiadat konvokesyen di universiti tempat dia berkerja sebagai pensyarah wakil pusat pengajian. Pada hari dia sepatutnya pergi ke majlis tersebut telah berlaku sesuatu yang tidak pernah kami lalui sebelum ini.

Pagi itu, dia bergerak dari rumah sekitar jam 7 pagi. Melepasi plaza tol Juru dengan baki kad touch n go yang tidak mencukupi untuk menaiki jambatan Pulau Pinang, dia bercadang untuk menambah nilai kadnya di sebuah stesen minyak berhampiran hentian sebelah Juru arah utara. Setelah siap menambah nilai, dia kemudian bergerak kembali ke arah kereta yang diparkir berhampiran laluan ke tandas dan surau stesen. Kelihatan, di hadapan kereta, seorang lelaki dan wanita berbangsa India sedang terbongkok-bongkok membelek motosikal. Suami saya masuk ke dalam kereta dan mula hendak bergerak. Namun tiba-tiba terlintas di hatinya untuk bertanya masalah mereka. Lalu dia keluar semula dari kereta.

Lelaki India itu kedua belah kakinya tidak sama panjang (leg length discrepancy), sebelah kirinya pendek ketara daripada yang sebelah kanan menyebabkan dia tempang. Wanita itu pula ibunya. Tanpa mengetahui destinasi suami saya, ketika mereka ditanya ke mana arah tujuan mereka, jawapan mereka, ke kampus utama universiti tempat suami saya berkerja, di Pulau Pinang. Mahu menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya (adik bongsu kepada lelaki yang membawa motosikal). Tanpa berlengah suami saya mempelawa mereka naik kereta bersama. Pasangan anak beranak itu lega. Terus mereka bersetuju. Motosikal mereka ditinggalkan di situ.

Bergerak pukul 3 pagi, mahu singgah kedai 2 ringgit

Di dalam kereta suami saya berbual. Lelaki India itu peramah. Katanya mereka dari Sungai Siput, Perak. Adik perempuannya yang akan bergraduasi menumpang tidur di rumah rakannya di Gelugor sejak kelmarinnya kerana urusan rehearseal dan mengambil jubah. Mereka tidak menyertai kerana tiada tempat untuk bermalam. Tidak mahu ramai-ramai menumpang tidur di rumah bujang risau menyusahkan, lalu mereka ambil keputusan bergerak seawal jam 3 pagi dari Sungai Siput dengan menaiki motosikal berusia 13 tahun melalui lebuhraya utara selatan. Saudara paling dekat ada di Sungai Bakap namun hidup mereka susah juga, lantas tidak sampai hati anak beranak ini mahu meminta tumpangan teduh semalam dua.

Sesekali melirik melalui cermin pandang belakang, suami saya nampak si ibu memegang erat sejambak bunga. Namun suami saya tidak terlintas untuk bertanya apa-apa soalan tentangnya. Sewaktu hampir tiba, si ibu berkata sesuatu kepada anaknya dalam bahasa ibunda mereka. Lalu si anak berkata kepada suami saya, “Bang ama mahu pergi kedai 2 ringgit dekat-dekat sini ada ka bang. Ama mahu beli teddy bear kecik mahu letak dekat itu bunga mahu kasi sama adiklah bang. Nanti abang kasi turun kami dekat kedai nanti kami jalan kaki atau naik bas ka pigi itu USM”.

“Ama tak ada duit”

Suami saya diam. Suami saya berkerja di kampus lain, sejujurnya dia tidak tahu di mana kedai dua ringgit terdekat. Tambahan pula jam baru 8.30 pagi hari Sabtu, sudah adakah kedai dua ringgit yang sudah memulakan perniagaan seawal ini. Lalu suami saya berkata “Bang, dalam universiti nanti ada pesta konvokesyen. Dekat pesta konvokesyen selalu ada orang jual bunga dengan teddy bear. Beli dekat dalamlah”.

Lelaki India terdiam. Tiba-tiba ibunya berkata sesuatu. Dia kemudiannya berkata kepada suami saya,

” Abang banyak maaf saya mau cakap. Kami tau dalam universiti sana ada orang jual bunga sama patung teddy bear. Tapi adik sudah pesan sama ama jangan bagi patung sama bunga. Itu semua mahal, ama tak ada duit”.

Giliran suami saya terdiam. Lalu lelaki India sambung bercerita. Mereka sudah dipesan berkali-kali oleh si adik perempuan agar tidak membelikan sebarang bunga, patung mainan atau cendera hati apapun kepadanya pada hari konvokesyen kerana dia pernah pergi ke pesta konvokesyen dan dia tahu harga barangan sedemikian di luar kemampuan emak dan abangnya. Namun hati seorang emak, berkali-kali dia mengunjungi rumah jiran mereka di Sungai Siput, ternampak olehnya gambar anak jirannya pada hari graduasi tergantung di dinding. Segak, ceria bersama skrol dan jambangan bunga dihiasi anak patung kecil. Hati seorang emak bergelora. Dia mahu anak perempuannya turut merasa sebagaimana yang dirasai rakan-rakan seusia dan sepengajiannya.

Tiada kedai yang buka

Cerita mereka, pagi itu setelah sampai di Juru, mereka keluar dari lebuh raya menuju ke Bukit Tengah. Di sana mereka bersembahyang di sebuah kuil. Lalu si emak membeli sejambak bunga kekwa di gerai jualan luar kuil (selalu di luar kuil ada kedai jual bunga kekwa berbagai warna). Emaknya gembira dapat membeli jambangan bunga itu walaupun ianya dari tempat lain, bukan dari tapak pesta konvokesyen universiti puterinya. Berkali-kali si emak berpesan supaya si abang membawanya ke kedai dua ringgit mahu membeli patung beruang kecil buat menghiasi jambangan bunga itu. Bersemangat hatinya mahu puterinya merasa dihadiahkan sejambangan bunga pada hari graduasi, sepertimana gambar anak jiran mereka di Sungai Siput. Kemudian mereka berpatah semula ke lebuh raya melalui Juru arah utara. Tidak berapa jauh kemudian, motor tua mereka mati enjin barangkali overheat kerana bergerak sejak jam 3 pagi lagi. Lalu si abang menolaknya sehingga ke stesen minyak di hentian sebelah Juru. Di sanalah mereka bertemu suami saya.

Dalam kesuntukan masa kerana perlu melapor diri jam 9 pagi (konvokesyen yang akan dihadirinya adalah sidang pagi) dibawa juga anak beranak itu ke kawasan kedai berdekatan. Tiada kedai yang sudah dibuka. Lalu anak beranak itu berkata tidak mengapa. Terus mereka mengikut suami saya masuk ke kampus.

Tengah hari itu, setelah sidang yang dihadirinya tamat, suami saya terserempak lagi anak beranak itu. Si emak masih memegang jambangan bunga sama. Tiada patung beruang kecil menghiasinya. Lalu hasrat si emak kembali berlegar di ingatan. Terngiang-ngiang suara lelaki india itu saat suami saya bertanya berapa usia adik perempuannya yang akan bergraduasi sebentar lagi.

“25 tahun bang. Dia banyak pandai. Rajin sekolah. Ama banyak suka dia dapat masuk universiti. Ama buat makanan bagi orang makan Sungai Siput sana”.

Hadiah sebuah kegembiraan

Suami saya teringatkan isterinya ini yang seusia anak / adik perempuan wanita dan lelaki India itu. Terfikir di usia itu, sejambangan bunga berhias teddy bear (selain 3 anak-ini kes rare jangan ikut bulat-bulat) pada hari graduasi mampu membuahkan kegembiraan. Walaupun mulut berkata tidak perlu tapi hati meronta mahu. Lantas suami saya segera berpatah semula ke tapak pesta konvokesyen, menuju ke kedai bunga. Sejambangan bunga dan seekor patung beruang kecil didapatkan. Kemudian dia serahkan kepada anak beranak itu. Wanita India mahu memeluknya sebagai ucapan terima kasih namun lelaki india itu segera mengingatkan emaknya bahawa orang Melayu (mungkin maksud dia Islam) tidak boleh menerima pelukan sedemikian.

Sungguh kasih seorang emak itu, lain macam hebatnya.

Sewaktu suami saya menceritakan hal ini, saya cuma ada satu pertanyaan kepada dia, “Ambil tak gambar mereka?”.

Jawab suami saya, “Laa abang lupa”. Lalu kami pun berhuhuhuhu bersama.

*ini cuma suatu perkongsian cerita dan pengalaman. Ia bukan sebarang bentuk sokongan peribadi saya dan suami kepada amalan ibadat agama lain atau amalan menggantung gambar makhluk di dalam rumah. Cerita ini ditulis dengan rasa gembira dan tolak ansur kepada sesama manusia walaupun berbeza agama. Agama Islam menganjurkan berbuat baik kepada sesama manusia, penganut agama lain selagi ia tidak membawa kepada kerosakan akidah.

Sumber : Norfaradina Ab Ghafar

SKIP THIS AD ×