Pelakon, Aprena Menrose tampil memberikan pendapat dan komennya berhubung isu beberapa artis yang dilihat membuat keputusan untuk membuka tudung baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: ‘Bila Dah Buat Sekali Saya Rasa Down’ – Gagal Rawatan IVF, Aprena Manrose Kembali Aktif Berlakon
Masih belajar bertudung
Ketika ditemui OhBulan!, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena berkata, dirinya tidak berhak untuk memberikan sebarang komen mengenai isu beberapa selebriti yang dilihat membuka tudung baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak layak untuk berbuat demikian kerana dirinya juga ketika ini sedang berusaha untuk beristiqamah dalam mengenakan hijab.
Sejujurnya saya tak boleh nak cakap apa-apa sebab saya pun sekarang masih belajar lagi, masih di fasa permulaan bertudung ni.
Kemudiannya iman kita ni turun naik kan? Nak cakap lebih-lebih pun tak berani sebab satu hari nanti pun saya tak tahu macam mana diri saya sendiri ni akan buka tudung balik ke apa ke.
Kita tak akan tahu sebab saya pun membesar dalam keadaan yang memang ‘free hair’ dan memang baru belajar memakai tudung dua tahun.
Ketika ditanya adakah pernah terdetik untuk membuka tudung? Pelakon drama ‘Hatimu Sedingin Salju’ mengakui bahawa dirinya juga pernah terdetik untuk membuka semula tudung satu ketika dahulu namun, sering mengingati pesanan ayahnya yang juga merupakan penyanyi, Iwan Syahman.
Pernah, tak tipu. Ada je perasaan tu sebab keadaan sekeliling kita pun memainkan peranan sebenarnya. Saya juga pernah cakap dengan ayah saya mengenai niat tu tapi dia tak adalah marah cuma dia ada bagi saya satu ayat.
Dia cakap, ‘Kalau awak sempat bertaubat, Alhamdulillah tapi kalau tidak urgh takut aku’. Saya ingat lagi reaksi dia macam mana.
Saya rasa ayah saya pun faham bila saya cakap macam tu sebab dia pun pernah muda. Tapi dia saya selalu bagi saya nasihat dan saya yakin dia sentiasa mendoakan saya. Saya pun setiap kali jumpa dia, saya selalu minta dia doakan saya.
Dalam pada itu, Aprena turut berharap agar keluarga serta orang ramai mendoakannya untuk sentiasa kekal beristiqamah bertudung.
Jadi saya mengharapkan doa dari keluarga dan orang ramai di luar sana untuk saya terus kekal istiqamah, insya-Allah.
Iman dan hati kita ni sifatnya memang berbolak-balik jadi, doa dari suami dan ayah saya juga sangat penting untuk saya terus istiqamah.