Penampilan yang digayakan Pengasas Bawal Exclusive, Puan Haliza Maysuri, pada malam Sabtu, telah menjadi bualan orang ramai. Mana tidaknya, Haliza memilih untuk menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkenal iaitu Rizalman Couture pada majlis ulang tahun Bawal Exclusive yang ke-25 tahun.
Artikel Berkaitan: Fazura Berbesar Hati Tengku Permaisuri Selangor Pakai Tudung Harga RM27, Peminat Mula Cari Nak Buat Koleksi – ‘Terus Nampak Eksklusif & Mahal’
Baju custom made
Ketika ditemui OhBulan!, Haliza menyatakan busana berona maroon itu bertahtakan kristal Swarovksi serta dihiasi penuh dengan 83,900 butir Swarovski.
Kata Haliza, pakaian istimewa (head to toe) yang mencecah RM250,000 itu memakan masa selama setahun untuk disiapkan kerana dijahit secara buatan tangan (handmade).
Saya sudah rancang untuk hasilkan baju ini sejak awal tahun dah akhirnya terhasilah busana yang mana fabriknya diimport dari United Kingdom (UK). Ia mengambil masa selama hampir setahun memandangkan ia dijahit secara handmade.
Sebenarnya sebelum berjumpa Rizalman, saya sudah mencari beberapa pereka fesyen di Turki, tetapi agak sukar kerana perlu fitting dan ulang alik ke sana. Jadi, saya rasa satu-satunya pereka fesyen yang dapat memenuhi kehendak saya adalah Rizalman.
Saya beri kepercayaan kepada Rizalman Couture menghasilkan busana ini kerana mereka sangat detail dan itu yang memberikan saya keyakinan. Sebelum ini, untuk acara besar pun saya memang menggunakan khidmat mereka.
Inilah hasilnya dan memang rasa amat berat dan sukar untuk digambarkan penampilan saya. Apa yang saya nak, Rizalman sudah dapat menjiwai.
Haliza berkata demikian ketika majlis makan malam bertemakan Magnificent Century dengan kehadiran tetamu melebihi 800 orang di Sunway Hotel Resort.
Tak kisah bayar mahal
Bercerita lebih lanjut mengenai busana berkenaan, Haliza memaklumkan sebagai rakan penjenamaan bersama Swarovski, kristal yang digunakan juga adalah tulen.
Dalam pada itu, Haliza berkata dia tidak kisah untuk berbelanja besar untuk busana kerana secara tidak langsung memberi sokongan kepada pereka fesyen tempatan.
Malam ini dihadiri oleh pihak Swarovski yang diterbangkan daripada Austria semata-mata untuk majlis makan malam. Saya memang nak pihak Swarovski melihat busana saya dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Bawal Exclusive.
Saya beli sepersalinan pakaian dengan harga RM250,000 yang dihasilkan orang seni. Why not? Siapa yang tidak kenal dengan Rizalman?
@ohbulanofficial Macam susah je nak jalan ? #ohhulan #sembangentertainment #halizamaysuri ? original sound – OHBULAN!
Selain itu, Bawal Exclusive turut membuat bidaan untuk rekaan tudung pertama yang dikeluarkan iaitu Bawal Tabur.
Bermula dengan harga RM25, Bawal Tabur ini telah berjaya dibida dengan harga tertinggi RM78,000. Hasil jualan tersebut disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin (Malaysia Medical Relief Society).
Majlis yang penuh gemerlapan ini juga mempamerkan koleksi-koleksi yang direka khas oleh creative designer Bawal Exclusive yang berharga antara RM10,000 sehingga RM113,000.00
Di samping itu, acara tersebut juga untuk meraikan pelanggan-pelanggan dari seluruh Malaysia yang banyak menyokong dan menaikkan jenama Bawal Exclusive. Tidak dilupakan juga kepada Premium Reseller dan Reseller yang menjadi rantaian untuk menyebarkan lagi Bawal Exclusive kepada semua peringkat masyarakat.
Sekadar info, Bawal Exclusive cukup terkenal dari aspek ketukangan yang luar biasa, perhatian terhadap perincian dan komitmen terhadap kualiti. Setiap koleksi, sama ada tempahan ataupun tudung sedia ada, menceritakan kisah inovasi dan keperibadian, merakamkan intipati keanggunan moden dan gaya abadi sambil mengekalkan ciri-ciri kesopanan pada tahap terbaik.
Bawal Exclusive telah berkembang menjadi jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan telah memikat hati individu dalam dunia fesyen di lebih daripada lima buah negara.