Meskipun sudah melafazkan lafaz cerai pada 3 Ogos yang lalu, suami kepada pelakon, Miera Liyana iaitu Rosland Othman, 50, tetap mahu memfailkan tuntutan nusyuz terhadap bekas isteri pertamanya, Adibah Abdul Mutalib, 50.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Tak Tahu Apa Kesalahan Diri Ini Sehingga Diceraikan’ – Bekas Madu Miera Liyana
Ingkar perintah suami
Memetik laporan Harian Metro, peguam yang mewakili Adibah, Junid Ramali berkata, tuntutan kes nusyuz berkenaan kini berlanjutan selama lebih setahun selepas Rosland memfailkan tuntutan tersebut pada Disember 2021 yang lalu.
Kami di pihak pembelaan yang mewakili Adibah selaku defendan sedaya upaya cuba mendapatkan keadilan untuknya walaupun pasangan sudah bercerai dan plaintif tetap meneruskan tuntutan kes ini.
Cuma, pada perbicaraan hari ini kami hanya sempat serahkan dokumentasi sokongan termasuk menjawab beberapa isu bantahan dan melengkapkan keterangan daripada defendan.
Dalam pada itu, Junid memaklumkan bahawa meskipun tuntutan ini diteruskan tetapi anak guamnya ada berbincang dengan plaintif agar kes ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik di luar mahkamah.
Kes ini sudah lama dan pasangan pun sudah bercerai. Jadi, saya sebagai peguam termasuk juga peguam pihak sana (plaintif), tetap berusaha kalau ada ruang untuk berbincang bagi diselesaikan secara baik.
Apapun, plaintif (Rosland) tetap berhak meneruskan kes tuntutan ini atas alasan dan sebabnya yang tersendiri. Namun, pihak saya yang mewakili defendan (Adibah) akan buat kerja kita untuk menjawab dan membela diri bagi mengenepikan permohonan ini.
Difahamkan, Rosland memfailkan tuntutan tersebut atas alasan Abidah tidak meminta izin ketika keluar dari rumah ketika mereka masih sah bergelar suami isteri.
Terdahulu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai tersebut kerana masih mahu mempertahankan rumah tangganya. Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Sehinggalah pada 3 Ogos yang lalu, Adibah diceraikan Rosland dengan talak satu di hadapan hakim Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Rosland dan Adibah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata yang berusia antara 11 sehingga 26 tahun.
Pada 25 Julai 2020, Rosland berkahwin kali kedua bersama Miera dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Sumber: Harian Metro