Penerbit, pengarah dan pelakon terkenal, Zizan Nin memberitahu dia memilih untuk ‘move on’ daripada kisah tahun lalu dan membuka lembaran baru sempena tahun 2024 ini.
Artikel Berkaitan: Filem Pertama Zizan Nin ‘Sazali Meor Coco’ Dapat Reaksi Positif
Artikel Berkaitan: Pertaruhkan Bakat Baharu Dalam Filem Sulung, Zizan Nin Harap ’Sazali Meor Coco’ Mampu Tawan Hati Penonton
Buka buku baru
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Zizan berkata dia enggan mengulas lebih lanjut berhubung filem pertama arahannya berjudul ‘Sazali Meor Coco‘ yang hanya mengutip RM6,990.35 pada tahun lalu. Ujar Zizan, segalanya telah dijawab oleh Pengarah Urusan Aquila Emas Sdn Bhd (AESB), Syarizan Md Isa, baru-baru ini.
Tiada apa yang saya nak komen. Lagipun saya anggap itu tahun lepas punya cerita. Jadi 2024 ini saya buka buku baru.
Bercerita mengenai matlamat untuk tahun ini, Zizan berharap semua projek terbarunya akan berjalan dengan lancar. Tambahnya, dia sedang sibuk berhempas pulas menyiapkan pelbagai kertas kerja untuk dihantar ke stesen televisyen.
Saya mengharapakan kerancakan kerja dan projek-projek baru untuk 2024, selepas sekian lama industri sedikit lesu berikutan pasca pandemik Covid. Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan pelbagai kertas kerja untuk stesen televisyen. Di samping itu, saya sedang menyemak jadual pasaran filem antarabangsa. Itu adalah sebahagian tugas saya sebagai penerbit. Saya juga kena susun jadual.
Selain menyiapkan kertas kerja dan melakukan beberapa tugasan yang lain, Zizan memberitahu dia kerap dijemput oleh pihak universiti dan beberapa kolej tempatan sebagai pensyarah undangan.
Mereka jemput saya untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat. Ada kalanya, mereka menjemput saya sebagai panel bagi projek akhir para pelajar.
Terdahulu, Syarizan Md Isa mengakui kutipan filem Sazali Meor Coco teruk dan tidak seperti yang diharapkan berikutan beberapa faktor.
Salah satu faktor adalah promosi yang lambat dan kurang disebabkan kekangan bajet. Faktor kedua dari segi isu semasa seperti isu Palestin, kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Sebelum filem ini ditayangkan, sudah banyak isu timbul sehingga kutipan beberapa filem dipertontonkan tidak mencapai seperti diharapkan. Jadi, daripada itu saya sudah nampak tanda filem ini berisiko berdepan perkara sama.
Biarpun pulangan tidak seperti diharapkan, Syarizan bertekad untuk terus berkarya. Dia percaya masih ada peluang menghasilkan filem lebih baik pada masa akan datang.
Serik tidak, saya masih lagi akan terus buat filem. Bagi saya, apa yang jadi untuk filem Sazali Meor Coco adalah ditayangkan pada masa yang tidak kena. Bukan kerana filem itu tidak bagus atau ‘sampah’, saya percaya ia tidak begitu, cuma masa sahaja tidak kena. Sebagai penerbit saya tidak serik, bagi saya itu cabaran dan adat resam dalam perniagaan ini.