Setelah sekian lama berteka teki dalam percintaan bersama Aidil Aziz, akhirnya pelakon Nur Fasha Sandha Hassan mengikat tali pertunangan semalam. Majlis tertutup di Ampang itu hanya dihadiri oleh keluarga rapat dan kenalan terdekat.
Majlis bermula selepas solat Asar menyaksikan pihak Aidil menghantar tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang daripada pihak Fasha. Ia diadakan secara sederhana atas permintaan kedua belah keluarga.
Syukur Aidil dan keluarga menerima saya
Saya berharap dapat lebih mengenali Aidil selepas pertunangan ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap pertunangan ini akan berkekalan sehingga ke perkahwinan.
Menerusi Kosmo, Fasha menganggap majlis ini sangat istimewa buat dirinya kerana tidak pernah melalui fasa bertunang sebelum ini meskipun pernah mendirikan rumah tangga.
Dilamar pada Jun lalu
Pak Ngah (panggilan manja) telah melamar saya pada 21 Jun lalu dan saya mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan tentang perkara ini. Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya. Namun saya lihat kualiti yang ada pada Aidil. Dia juga cukup akrab dengan kedua anak saya dari sejak awal perkenalkan kepada mereka lagi.
Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa dan bijak mengambil hati mereka berdua. Malah Aidil juga pandai menghormati kedua ibu bapa dan keluarga saya.
Fasha turut mengatakan Aidil melamarnya pada Jun lalu namun dia mengambil masa untuk memikirkannya. Selepas dilihat usahanya mendekati keluarga dan anak-anak, akhirnya dia bersetuju dengan lamaran itu.
Fasha miliki sifat keibuan
Saya sukakan sifat keibuan yang ada pada Fasha dan dia selalu menghargai orang di sekelilingnya. Sifat sederhana yang ada pada Fasha membuatkan dia disayangi ramai termasuk saya dan keluarga.
Bohong kalau saya katakan tiada yang persoal atau memandang pelik kerana siapa saya yang masih bertatih membina nama untuk memiliki hati Fasha yang cukup besar profilnya sebagai pelakon di Malaysia. Namun saya percaya soal jodoh ini bukan kerja kita dan jauh sekali untuk kita persoalkan. Sudah tertulis jodoh saya dengannya dan saya menerima baik ketentuan itu. Justeru persepsi negatif atau apa saja pandangan orang lain tak perlu saya fikirkan.
Menurut Aidil, sikap Fasha yang keibuan membuatkan dia tertarik pada pelakon itu. Walaupun pada awalnya dia tidak yakin dapat memiliki hati Fasha, namun dia percaya soal jodoh di tangan Allah.
Bekerja keras mengukuhkan kestabilan
Keutamaan saya sekarang adalah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan diri bagi membina sebuah keluarga bersama Fasha dan dua anaknya kemudian hari bila kami berkahwin. Saya melihat tempoh bertunang ini adalah satu fasa persediaan saya untuk memimpin sebuah keluarga tak kira dari aspek ilmu agama, kewangan, mental dan juga percaturan akan datang.
Insya-Allah saya tak nampak sebarang masalah kerana hubungan saya dan Fasha berlandaskan keikhlasan, rasa jujur antara satu sama lain dan sentiasa berkomunikasi dalam memperbaiki mana kurang dan salah. Alhamdulillah saya lihat ia satu perkembangan yang cukup baik untuk kami berdua sebelum berkahwin kelak
Tambahnya lagi kini dia sedang bekerja keras untuk membina keluarga bersama Fasha dan anak-anaknya. Dia berharap agar hubungan ini berkekalan hingga ke perkahwinan.
Sumber : Kosmo