Kejuaraan julung kali diraih skuad e-sukan, Team HAQ dalam kejohanan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim Ke-10 apabila membuat kejutan menewaskan juara bertahan Todak. Kejayaan Team HAQ membuktikan negara mempunyai banyak bakat muda dalam esport yang boleh dilatih dan digilap untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Juara penampilan sulung
Pasukan yang dipelopori anak muda tempatan ini mara ke Grand Final bertemu Todak pada penampilan sulungnya. Bukan itu sahaja, perlawanan itu turut menyaksikan Team HAQ menunjukkan kehebatan mereka pada pusingan pertama dan kedua apabila berjaya mendahului Skuad Todak.
Kemenangan ini sekali gus melayakkan mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4) yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia tahun depan. Difahamkan, pasukan HAQ dan Todak akan bersama-sama mewakili Malaysia dalam kejohanan siri dunia akan datang serta bersaing untuk gelaran juara dunia.
Menurut sumber, lapan pasukan kini telah berjaya melayakkan diri ke kejohanan dunia tersebut. Perlawanan penuh aksi itu bakal berlangsung selama 15 hari dan akan bermula pada 1 Januari 2023.
PM ucap tahniah
Berikutan kejayaan pasukan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pasukan e-sukan Team HAQ yang menjuarai Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10 dengan mengalahkan juara bertahan Todak, 4-2. Ucapan tersebut dizahirkan di laman Facebook beliau yang berbangga kerana Team HAQ akan membawa Jalur Gemilang mewakili Malaysia bersama pasukan Todak ke Jakarta.
Kejayaan seperti ini bukti negara kita mempunyai bakat-bakat muda yang perlu disokong dan digilap untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Sudah terbukti bakat-bakat anak muda e-Sukan kita semakin hebat. Semoga pertandingan di peringkat dunia akan menyerlahkan lagi bakat mereka.
Malaysia Boleh!
Sumber: Astro Awani, Utusan Borneo, Akfgaming