Bercakap soal perkara mistik ini, kami yakin ramai yang ada pengalaman sendiri dan pernah mengalaminya. Rasa kurang selesa, rasa diperhatikan apatah lagi jika berkunjung ke sesuatu tempat yang sunyi dan gelap pasti membuatkan adrenalin melonjak!
Namun berbeza buat sesetengah orang yang gemar ‘mencari’ perkara mistik ini. Lokasi-lokasi seperti bangunan tinggalan dan tempat yang mempunyai cerita seram menjadi target mereka untuk mencari entiti mistik. Seorang lelaki yang dikenali sebagai Faizal Rozi berkongsi pengalaman dirinya memasuki Hospital Kluang yang sudah lama terbiar seorang diri. Memang seram!
Sejarah Hospital Kluang
Hospital Kluang telah dibina di Jalan Hospital pada tahun 1931. Pada tahun 1931 hingga 1939, hospital ini hanya dilengkapi dengan bangunan penyelia, pejabat rekod dan dewan sekolah latihan. Dewan sekolah latihan kemudiannya diubahsuai menjadi jabatan pesakit luar, bilik kad, bilik daftar masuk, bilik operator, unit kemalangan dan kecemasan serta dewan pembedahan ‘minor’.
Sepanjang tempoh penjajahan Jepun, bangunan Hospital Kluang telah dijadikan pusat pentadbiran Jepun dan perkhidmatan Hospital Kluang dipindahkan ke Tapak. Sekolah Tinggi Kluang. Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Hospital Kluang dipindahkan semula ke bangunan di jalan Hospital. Hospital ini bagaimanapun telah ditinggalkan setelah hospital baru dibuka sepenuhnya pada 2011, terletak 8km dari hospital lama ini.
Sejak dari itu, pelbagai kisah aneh yang diceritakan oleh penduduk setempat. Malah pengawal keselamatan di kawasan hospital tersebut juga mengakui ternampak kelibat jururawat di hospital lama berkenaan.
Seram, mendebarkan
Menerusi video berdurasi hampir 30 minit itu, Faizal ‘melawat’ sekitar hospital tersebut antaranya wad lelaki, wad wanita, wad ICU, farmasi, ruang kecemasan dan beberapa bahagian lagi. Hanya bertemankan telefon bimbit dan lampu, Faizal memasuki satu persatu bahagian bangunan tersebut seorang diri.
Beberapa peristiwa aneh berjaya dirakamkan sepanjang berada di hospital itu antaranya bunyi aneh ketukan, penampakan entiti mistik, bau yang cukup aneh dan banyak lagi. Korang tengok lah sendiri! Yang penting jangan tengok seorang diri pada waktu malam!
Sumber: Faizal Rozi Vlogs