berita

‘Live Location’ Terhenti, Pengantin Baru Hamil 2 Minggu Maut Ketika Dalam Perjalanan Ziarah Jenazah Ibu

November 29th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Hasrat seorang wanita untuk menziarah jenazah arwah ibunya yang baru meninggal dunia tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Setiu, Terengganu. Lebih menyayat hati apabila mengetahui mangsa baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada bulan Oktober lalu dan kini sedang hamil dua minggu.

Ibu hamil dua minggu maut kemalangan

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang dikenali dengan nama Nadia Fizatul Hanim Zamani berusia 23 tahun baru sahaja menerima berita gembira mengenai kehamilannya yang kini berusia dua minggu. Namun siapa sangka, Allah SWT lebih menyayanginya. Menurut ibu saudara mangsa iaitu Salmie Arshad, kemalangan maut itu berlaku semasa mangsa dan suaminya dalam perjalanan pulang dari Johor ke kampung di Kelantan untuk menizarahi jenazah ibunya.

Pulang nak ziarah jenazah ibu yang meninggal kerana sakit kronik di kampung di Machang, tetapi dia pula menyusul. Allah SWT menyayangi mereka berdua.

Menurut sumber, kereta Kancil yang dipandu suaminya, Muhamad Nazirul Rameli hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan tercampak keluar dari kenderaan itu.

Live location terhenti

Foto: Kosmo

Sementara itu, menurut Nurul Asiah Yacob iaitu ibu saudara mangsa memaklumkan mereka sekeluarga berasa tidak sedap hati selepas melihat ‘live location’ yang dikongsikan mangsa terhenti. Malah panggilan telefon juga tidak dijawab.

Kira-kira jam 4 pagi, ‘live location’ Nadia terhenti. Kami cuba menghubunginya tetapi gagal sebelum panggilan akhirnya dijawab oleh individu tidak dikenali dan memaklumkan Nadia bersama suaminya terbabit dalam kemalangan.

Difahamkan, mangsa sempat singgah berehat di sebuah stesen minyak kerana berasa pening disebabkan alahan mengandung. Pasangan ini kemudian meneruskan perjalanan sebelum kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan daripada kecederaan parah di bahagian kepala. Difahamkan, jenazah mangsa dan ibunya disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Bukit Ajil, Machang.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

SKIP THIS AD ×