Tiga jam penuh magika! Itu sebaris ayat yang menggambarkan keseluruhan persembahan maestro muzik negara, Datuk M. Nasir pada malam Konsert Gendang Pati Live in Kuala Lumpur pada Sabtu.
Seramai 16 pemuzik mengiringi persembahan tersebut antaranya Nan Alias (pengarah muzik dan pemain gitar), Norman (bass), Ujang Exist (dram), Rafi Mohd (gitar), Firdaus Mahmud (keyboard) dan Eddie Slam (dram).
Artikel Berkaitan: M Nasir Enggan Ulas Isu Lirik Lagu ‘Nur Nilam Sari’ Ditukar Kepada ‘Pinjam Seratus Nur Nilam Sari’
Artikel Berkaitan: Viral Lagu Parodi ‘Pinjam Seratus Nur Nilam Sari’, Netizen ‘Bedah’ Kisah Hiba M.Nasir Di Sebalik Lagu Asal
‘Pheonix bangkit dari abu’
Konsert yang berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), menyaksikan seramai 3,000 penonton hadir untuk tidak melepaskan peluang melihat persembahan daripada komposer terkenal negara itu.
Pentas dibuka kira-kira jam 8.30 malam dengan lagu pertama berjudul Phoenox Bangkit Dari Abu diringi persembahan memukau seorang penari yang memakai kostum burung.
Seletah selesai persembahan pertama, M.Nasir juga sempat berseloroh dengan para penonton tentang konsert penyanyi Aina Abdul yang turut berlangsung pada hari yang sama.
Apa khabar? Tak menyesal ke tak pergi ke konsert Aina Abdul? Saya pun dah siap pakai baju ni.
Kolaborasi koir sekolah
Selain mengetengahkan muzik gendang yang menjadi instrumen utama konsert tersebut, pemilik nama sebenar Mohammad Nasir Mohamed ini turut berkolaborasi bersama koir sekolah dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh Perak.
M.Nasir bersama kumpulan koir yang dikenali sebagai Sam Tet Voices itu mendendangkan lagu Bagaikan Sakti yang menjadi runut bunyi bagi filem Puteri Gunung Ledang.
Pertama kali saya tengok mereka ketika mereka menyertai pertandingan di Terengganu dan mereka menjuarai pertandingan tersebut. Mereka pun baru balik dari Korea.
Lagu-lagu kegemilangan M.Nasir
Pentas kemudian dihangatkan dengan lagu-lagu yang pernah mendapat sentuhan dan ciptaan M.Nasir iaitu Gadisku (Search), Setahun Sudah Berlalu (Alleycats), Kabul Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kriss) dan Fantasia Bulan Madu (Search).
Persembahan bertenaga diteruskan lagi dengan rangkaian lagu-lagu popular M.Nasir antaranya Kias Fansuri, Mantera Semerah Padi, Sentuhan Listrik Mu, Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta dan Sahabat Gua manakala penonton pula tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama bangun berjoget.
Dedikasi buat rakyat Palestin
Penyanyi berusia 66 tahun itu tidak lupa pada nasib yang menimpa saudara Islam di Palestin dengan mempersembahkan lagu Masirah. Ia diilhamkan daripada kisah benar yang menimpa seorang kanak-kanak bernama Muhamamad Al Durrah yang syahid ketika pertempuran dengan rejim Israel.
Solidariti yang ditonjolkan pada persembahan tersebut turut menampilkan seorang penyajak yang menyampaikan puisi tentang peperangan di Gaza serta bacaan qunut nazilah.
Konsert tersebut adalah anjuran MND Sports & Events yang turut dimeriahkan lagi oleh rakan-rakan artis antaranya Datuk Hattan, Jep Sepahtu, Ayai Ilusi, Hetty Koes Endang, Erma Fatima dan Nana Mahzan.