Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina. Mana taknya, kehadiran zuriat tentu akan menambah bibit bahagia buat pasangan suami isteri dalam melayan telatah dan ragam mereka.
Sebelum tahun 2023 melabuhkan tirainya, jom semak senarai selebriti yang menimang cahaya mata pada tahun ini!
1) Aura Medina/ Harris Annuar & Asha Merican
Pasangan Harris Annuar dan Asha Merican selamat menimang cahaya mata sulung mereka pada 26 Mac. Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Harris memuat naik gambar bersama puteri sulungnya yang diberi nama Aura Medina.
Difahamkan, Asha selamat melahirkan bayi 2.76kg itu pada pukul 11:51 malam.
Dalam pada itu, Harris atau nama penuhnya Mohammad Harris Shahrul Annuar sempat berseloroh dengan mengatakan bayinya itu merupakan ‘baby lato-lato’. Ini kerana isterinya, Asha yang pernah mengidam untuk bermain permainan tersebut sebelum melahirkan puterinya itu.
Artikel Berkaitan: Harris Annuar Timang Cahaya Mata Sulung, Namakan Aura Medina
2) Rahil Laura Salsabila/ Jamal Abdillah & Zai Izzati
Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa syukur apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di sekitar Kuala Lumpur pada hari Jumaat.
Jamal atau nama lengkapnya Jamal Ubaidillah Haji Mohd Ali, 63, berkata, bayi perempuan itu dilahirkan dengan berat 2.94 kilogram menerusi pembedahan selepas menerima nasihat doktor.
Tambah Jamal, bayi tersebut diberi nama Rahil Laura Salsabila dimana Salsabila membawa maksud air mata syurga.
Artikel Berkaitan: Anak Ke-5 Baru Umur Setahun, Rezeki Jamal Abdillah Dapat Sambut Bayi Lagi
3) Atta Adam/ Kaka Azraff & Adam Adzriff
Penyanyi, Kaka Azraff, 34, selamat melahirkan anak ketiga di sebuah hospital di Damansara pada 19 Jun.Pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu melahirkan bayi lelaki seberat 2.75 kilogram.
Menurut Kaka, dia dan suami sepakat memilih nama Atta Adam buat putera ketiga mereka.
Artikel Berkaitan: Kaka Azraff Selamat Timang Anak Ketiga!
4) Aishah Al Iman/ Wany Hasrita & Mohd Al-Adib
Bersalin secara normal pada 8 Julai, penyanyi Wany Hasrita mengambil masa lebih kurang seminggu untuk mendedahkan nama anaknya. Ujar Wany, dia dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun menamakan bayi perempuan mereka, Aishah Al Iman.
Artikel Berkaitan: Wany Hasrita Selamat Melahirkan Puteri Sulung
5) Abdullah Abbas/ Neelofa & PU Riz
Selebriti popular, Noor Neelofa selamat melahirkan cahaya mata keduanya, pada 11 Julai. Menurut Neelofa, dia selamat melahirkan bayi lelakinya itu pada pukul 10.45 malam. Selepas genap tujuh hari melahirkan, Neelofa akhirnya mengumumkan nama bayi keduanya iaitu Abdullah Abbas.
Artikel Berkaitan: Neelofa Selamat Bersalin Anak Kedua, Baby Boy!
6) Tuah Alam/ Remy Ishak & Ezza Yusof
Pelakon popular Remy Ishak tampil mengumumkan isterinya, Ezza Yusof telah selamat melahirkan anak sulung mereka pada 27 Julai, di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur kira-kira 1.17 pagi. Berita gembira itu telah diumumkan oleh Remy menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Mengambil masa lebih kurang beberapa minggu, Remy akhirnya mengumumkan nama putera sulungnya. Menurut Remy, dia dan isteri iaitu Ezza Yusof telah sepakat memilih nama Tuah Alam buat zuriat pertama mereka. Tambah Remy, sejak bujang lagi dia mempunyai hasrat untuk memberikan anaknya nama yang mempunyai unsur kemelayuan.
Artikel Berkaitan: Tuah Alam Pengikat Kebahagiaan Rumah Tangga Remy Ishak & Isteri
7) Saif Sulaiman/ Syifa Melvin & Safawi Rasid
Pempengaruh Syifa Melvin, selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada 30 September. Berita gembira tersebut dikongsikan suaminya, Safawi Rasid di Instagram. Menurut Safawi, isterinya selamat bersalin pada pukul 5.28 petang di sebuah hospital swasta. Mereka sepakat memberi nama Saif Sulaiman.
Artikel Berkaitan: Syifa Melvin Selamat Bersalin Anak Lelaki, Beri Nama Saif Sulaiman
8) Puteh/ Nad Zainal & Ungku Ismail
Pelakon, Ungku Ismail Aziz berkongsi momen bahagianya selepas isteri, Nad Zainal selamat melahirkan anak pertama mereka di sebuah hospital. Menerusi hantaran di Instagram, Ungku meluahkan rasa syukur dan menitipkan ucapan terima kasih yang tak terhingga buat Nad yang telah melahirkan anak sulung hasil perkahwinan mereka.
Artikel Berkaitan: Ungku Ismail Luah Rasa Syukur, Nad Zainal Selamat Bersalin Anak Lelaki – ‘Welcome My Son’
9) (Tidak didedahkan)/ Izara Aishah & Adib Khalid
Pelakon jelita, Izara Aishah dan suami Adib Khalid menzahirkan rasa syukur setelah anak kedua mereka selamat dilahirkan.
Berita gembira tersebut dikongsi menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG), yang memaparkan Adib sedang memangku seorang bayi perempuan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Izara Aishah & Adib Khalid Timang ‘Baby Girl’ Kedua
10) Aali Mateen/ Ayda Jebat & Nabil Mahir
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan, pada 12 Disember lalu. Menerusi perkongsian di Instagram, Ayda memberitahu dia selamat melahirkan cahaya mata keduanya. Ujar pelantun suara ‘Pencuri Hati’ itu lagi, dia bersyukur segala urusannya untuk bersalin dipermudahkan. Ayda turut mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakannya.
Seperti kebanyakan selebriti lain, Ayda mengumumkan nama anaknya selepas seminggu bersalin. Tambah Ayda, dia dan suami bersepakat memilih nama Aali Mateen Ahmad Nabil.