Konsert separuh akhir Famili Duo musim 3 (FD3) yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada malam Ahad menunjukkan hanya tiga pasangan duo yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Susulan itu, penerbit eksekutif FD3, Muhammad Sufian Che Isa tampil menjelaskan mengapa keputusan itu dibuat.
Artikel Berkaitan: Hanya Tiga Pasangan Mara Ke Final Famili Duo, Shila & Syahir Amzah Antara Yang Tersingkir
Berdasarkan juara mingguan
Ketika ditemui OhBulan!, Sufian atau lebih mesra disapa Abang Pian berkata, pemilihan finalis dibuat berdasarkan kemenangan duo terbaik yang pernah memenangi juara mingguan.
Kita memilih berdasarkan kepada duo yang pernah memenangi juara mingguan. Adira dan Emma dah menang dua kali, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran juga dua kali manakala Sharif dan Syaiful Zero tiga kali.
Kalau kita pilih empat duo, tapi duo tersebut belum pernah menjadi juara mingguan, kami berasa ia agak kurang adil.
Jadi, sebab itu hanya tiga yang layak ke final sebab kita memilih berdasarkan duo yang pernah menjadi juara mingguan sahaja.
Sufian memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui selepas selesai konsert semi final FD3 yang diadakan di Studio NTV7 yang terletak di Glenmarie, Shah Alam pada malam Ahad.
Tambah Sufian lagi, keputusan itu dilakukan pihak produksi sewaktu perbincangan yang dilakukan mereka sebelum bermulanya minggu separuh akhir FD3 lagi.
Kami telah berbincang beberapa pilihan, kalau berlaku begini apa akan jadi dan kalau berlaku sebaliknya pula apa akan jadi? Keputusan malam ini adalah berdasarkan kebarangkalian yang berlaku.
Kalau Adira dan Emma menjadi juara mingguan, hanya tiga layak ke final. Tapi kalau Tom dan Fuad Rahman yang menjadi juara mingguan pada konsert separuh akhir tadi (malam Ahad), mungkin empat duo yang ke final sebab mereka juga pernah menjadi juara mingguan.
Tapi sayang, bukan rezeki mereka untuk menjadi juara mingguan. Namun, sekiranya Ryan dan Adam Bakery serta Shila dan Syahir Amzah yang menang, itu tidak bermakna mereka akan ke peringkat akhir kerana kedudukan mereka agak jauh dengan peserta yang lain.
Jadi disebabkan itulah hanya tiga duo yang layak ke peringkat akhir.
Sekadar info, tiga pasangan duo yang berjaya mara ke peringkat akhir program realiti FD3 pada Ahad depan adalah pasangan adik-beradik Sharif dan Syaiful Zero (adik-beradik), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu), serta Adira dan Emma Suhaimi (adik-beradik).
Manakala tiga pasangan duo dengan jumlah markah terendah iaitu pasangan suami isteri Fuad Rahman dan Tom, pasangan adik-beradik Ryan dan Adam Bakery dan satu lagi pasangan adik-beradik iaitu Shila dan Syahir Amzah tidak berjaya meloloskan diir ke peringkat akhir.
Saingan peringkat akhir akan bersiaran secara langsung di TV3 pada Ahad depan bermula jam 9 malam dengan menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000.
Dihoskan oleh Izzue Islam dan Janna Nick, Famili Duo 2023 dibawakan khas oleh penaja utama OGAWA, penaja bersama Elegant Cosmetics, dan rakan penaja Centrum Multivitamin.
Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital, serta Hot FM sebagai Famili Radio.
Jangan lupa untuk mengundi pasangan kegemaran anda di atas talian melalui Tonton kerana markah anda akan menentukan 30% markah keseluruhan.
Lebih istimewa, penonton yang melanggan pakej TontonUP berpeluang untuk mengundi sebanyak 50 undian untuk duo kegemaran mereka! Gunakan kod ‘FAMILIDUO2023’ untuk mendapatkan tawaran khas bagi tiga bulan pertama sempena FD3 dengan harga serendah RM20.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 3 yang akan bersiaran secara langsung setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 atau strim secara atas talian di www.tonton.com.my.