Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) telah meraih tiga anugerah pada peringkat nasional Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022 yang diumumkan baru-baru ini. Anugerah ini berjaya diungguli menerusi rancangan Tinta Syurga (TV3), 999 ‘Jenayah Banjir’ (TV3) dan ‘My Dream, My Wish’ (8TV).
Tinta Syurga, 999 & ‘My Dream, My Wish’
Tinta Syurga, sebuah dokumentari istimewa Nuzul Al-Quran telah diumumkan sebagai pemenang anugerah Asian Academy Creative Awards 2022 di bawah kategori Best Documentary Programme (One-Off). Selain itu, Tinta Syurga juga turut tercalon dalam kategori Goodness of Creativity Award.
Program yang mengisahkan tentang jenayah, 999 telah memenangi kategori Best Current Affairs Programme or Series dalam anugerah ini. Tambahan pula, program 999 menerusi episod ‘Jenayah Banjir’ berjaya meraih perhatian ramai dengan paparan kejadian-kejadian jenayah yang berlaku ketika banjir besar melanda Taman Sri Muda, Shah Alam pada akhir tahun lalu.
Di samping itu, rancangan terbitan 8TV “My Dream, My Wish”, turut meraih anugerah Best Single Drama/Telemovie/Anthology Episode. Telefilem ini mengisahkan tentang seorang graduan bernama Chang Yong yang menganggur ketika pandemik dan berazam untuk memenuhi hasrat terakhir bapanya dengan menceburi perniagaan membuat pau yang dimiliki oleh keluarganya.
Kejayaan ini sekali gus membolehkan Rangkaian Televisyen Media Prima untuk bersaing dengan pelbagai rancangan dari lebih 10 buah negara Asia Pasifik pada malam anugerah Grand Award and Gala Finals yang akan diadakan pada 7 dan 8 Disember ini di Singapura.
Tahniah buat para penerbit dan krew rancangan terbabit yang berjaya mewakili Malaysia pada peringkat nasional Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022.